Tour de Legend Island

Dataran Lang, Langkawi
Sudah lama juga tidak menjejaki ke Pulau Legenda ini. Kali terakhir ialah pada tahun 1997 bersama emak dan ayah. Itu pun kami balik hari. 10 tahun kemudian, aku mengunjunginya semula. Kali ini bersama isteri dan 3 anakku dan Keluarga Abang Din dan Abang Yahya, selain dari ibu mertuaku. Disamping itu, kami teringin juga melawat keluarga iparku dan mertuanya yang tinggal di Perlis.



Rombongan kami
 Kami bertolak menggunakan 3 buah kereta sahaja dari Parit Jawa, Muar jam 7.30 pagi menghala ke Utara menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Kami tidak memasuki KL sebaliknya menggunakan lebuh raya Selatan - Hubungan Tengah melalui Shah Alam dan terus ke Utara. Tidak banyak pemandangan yang dapat dilihat kerana kami menggunakan lebuh raya. Kami makan tengahari jam 1.00 tengahari di Hentian Rehat di tepi Sungai Perak dan bersolat Zuhur di situ. Hentian rehat ini amat menarik kerana banyak menyediakan sajian kampung seperti ulam-ulaman dan ikan bakar. Kami hanya keluar dari lebuhraya PLUS hanya di Alor Setar dan mengambil jalan ke Kangar. Setibanya di Kangar lebih kurang jam 4.30 petang, kami menanti Izam, abang ipar aku yang duduk di Kangar datang. Beliau terus membawa kami ke rumah ibu mertuanya yang terletak di tengah-tengah sawah yang saujana mata memandang. Malam tersebut kami menikmati makan malam di rumah tersebut dan tidur di rumah Izam.



Di dalam Feri
 Pagi esoknya, kami mula bergerak ke Kuala Perlis untuk menuju ke Pulau Langkawi. Setibanya di Langkawi, kami disambut Ila dan suami, kawan baik isteriku ketika mengajar di Sekolah Datuk Amar DiRaja, Muar. Mereka telah menempah apartment di Kondominium Istana dan sebuah van serta kancil untuk kami semua. Apartment ini mempunyai tiga bilik, dua bilik air dan juga dapur, mudah untuk kami memasak nasi dan air. Petangnya kami sudah mula mengintai tempat-tempat menarik di sana. Malamnya, kaum ibu telah mula menyerang Idaman Suri, kedai bebas cukai yang terkenal di Langkawi. Aku pula terpaksa melayan anak-anak mandi di kolam renang apartment.



Langkawi Cable Car
 Esoknya, destinasi pertama kami adalah Langkawi Cable Car. Ia adalah kereta kabel terpanjang di Asia. Destinasi seterusnya adalah Makam Mahsuri, Underwater World dan Beras Terbakar. Malamnya sungguh memenatkan, tapi kami berdaya juga makan malam di restoran makanan laut Thai kerana masih ada baki wang kutipan makan minum kami.



Di Underwater World

Kat Beras Terbakar

Balik ke tanah besar
 Esok paginya kami check out selepas sarapan pagi dan kembali ke Kuala Perlis. Di Kuala Perlis, Izam telah menunggu dan membawa kami ke Padang Besar pula. Di Padang Besar kami membeli belah lagi barang-barangan Thailand pula. Kami bertolak dari sana selepas makan tengahari kira-kira jam 2.00 petang. Sesampainya di Kangar, kami terus meneruskan perjalanan balik ke selatan. Kami mula memasuki lebuhraya Plus di Alor Setar. Kami berehat sebentar untuk merehatkan badan di Hentian Rehat Sungai Petani dan bersolat jam 5.00 petang. Jam 7.00 petang ketika hari telah mula gelap, kami telah memasuki Seberang Perai. Tiba-tiba ada cadangan untuk pergi ke Pulau Pinang. Walaupun tiada sesiapa pun yang mengetahui selok belok jalan di Pulau Pinang, kami teruskan jua untuk makan malam di Padang Kota. Kali terakhir aku ke Pulau Pinang ialah 11 tahun lepas pada tahun 1996 tetapi menggunakan feri. Oleh kerana tiada siapa pun yang pernah ke Pinang terpaksalah aku yang jadi pemandu pelancong walaupun dengan pengetahuan yang amat sedikit itupun mungkin sudah lapuk. Apa yang aku ingat, aku pernah ke Padang Kota dari Jeti Feri. Oleh kerana tidak menemui mana-mana petunjuk dan papan tanda ke Padang Kota, aku menghala ke Jeti Feri mengikut papan tanda yang terdapat di sepanjang jalan. Dari Jeti Feri tersebut, barulah kami menghala ke Padang Kota tetapi tidak aku lihat gerai-gerai seperti padang kota dahulu. Aku berhenti di tepi jalan untuk bertanya kepada seorang mamat di manakah padang kota. Mamat itu memberitahu inilah padang kota. Rupa-rupanya ia telah dibuat Medan Selera dengan bangunannya sendiri dan mamat itu adalah parking attendance.


Kami menikmati makan malam kami disitu dengan kerang bakar, rojak sotong. Tiada lagi gerai-gerai di tepi laut seperti dahulu. Hanya beberapa kedai makan yang tinggal dan tidak semeriah dahulu. Selesai solat, kami bertolak balik pada jam 10.00 malam meneruskan perjalanan ke selatan.


Kami tiba di stesen minyak di Ipoh pada jam 12.00 tengah malam dan berehat sebentar. Ingatkan Abang Din dan Abang Yahya ingin berehat lebih lama dan tidak meneruskan perjalanan ketika itu, tetapi jangkaan aku meleset sama sekali. Mereka ingin meneruskan perjalanan walaupun jam telah melepasi 12.00 tengah malam dan kami telah berjalan tanpa rehat sejak pagi tadi... Aku kembali masuk ke kedai Petronas dan membeli air kopi tongkat ali dalam tin sebagai persediaan jika mengantuk. Setelah itu perjalanan diteruskan lagi. Hujan turun dengan lebatnya di beberapa tempat hingga kesukaran melihat jalan. Polis juga melakukan 'road block' di Behrang dan beberapa orang di saman kerana memandu laju. Rasa mengantuk sememangnya tidak dapat dielak dan aku meneguk air kopi seteguk dan mata aku kembali segar. 1/2 jam kemudian, bila terasa mengantuk semula, aku minum seteguk dua lagi air kopi dan mengantuk aku hilang. Kami akhirnya sampai ke Kuala Lumpur ketika air kopi di dalam tin telah habis. Kami semua sampai di rumah abang Din di Taman Seri Serdang jam 2.30 pagi untuk berehat sebentar.

Abang Din dan kak Safi menamatkan perjalanan mereka di sini, tapi bagi kami yang lain, perjalanan masih lagi jauh. Jam 3.00 pagi kami bergerak lagi ke selatan. Demi penumpang lain, aku mengaku kalah dan menyerahkan stering kereta kepada kak Izah. Aku pula tidur di belakang. Kami bergerak bersama abang Yahya sehingga TOL Tangkak. Di sana kami keluar lebuhraya dan menuju ke Muar manakala abang Yahya meneruskan perjalanan di lebuh raya hingga ke Johor Baharu dengan Estimanya. Kami sampai di Parit Lapis di Parit Jawa jam 6.00 pagi manakala abang Yahya sampai ke Johor Baharu jam 7.30 pagi.

Suatu pengalaman yang tak dapat dilupakan bila menjejaki Langkawi semula. Perjalanan balik juga amat menarik kerana kami telah bersarapan pagi di Pulau Langkawi, makan tengahari di Padang Besar, minum petang di Sungai Petani, makan malam pula di Padang Kota Pulau Pinang, dan sarapan pagi seterusnya di rumah di Muar, Johor.