Lambaian Singa Utara

Lambaian Singa Utara


Demi menyampaikan hajat ibu mertua menjengah anaknya di Indera Kayangan, kami mengatur perjalanan ke sana sambil melihat negeri orang walaupun anak ke 5 aku baru berusia 23 hari dan isteri aku masih dalam pantang. Pelbagai rancangan diatur sepanjang perjalanan. Antara cadangan yang diutarakan agar kami tidak hanya menggunakan lebuhraya malah lebih menggunakan jalan negeri atau persekutuan kerana jalan tersebut lebih memberikan pemandangan yang menarik walaupun agak perlahan.

Konvoi kali ini disertai oleh peserta tetap Angah dengan Honda Stream RZS nya, manakala kakak ipar aku, Kak Iza memandu sendir Kia Spectra manakala aku tetap dengan Wira Sedan 1.5 putih second hand yang baru aku gunakan setahun.

Kami bertolak dari Muar, Johor jam 7.30 pagi 23.11.2010 dan keluar ke lebuhraya Plus di Tol Tangkak. Aku mendahului konvoi seolah-olah aku ni tahu benar selok-belok jalan sedangkan ini bukanlah negeriku. Kalau Sarawak tu, insya Allah, sampai ke Kundasang, Sabah atau ke Pontianak dan Sambas, Indonesia boleh aku tunjukkan.

Dipendekkan cerita kami menggunakan Highway sahaja demi menjimatkan masa. Kami berhenti makan tengahari di Hentian Sungai Perak jam 1.00 tengahari. Setelah berhenti makan dan solat selama 40 minit, kami bertolak semula dan berhenti rehat selama 15 minit di Hentian Rehat Gurun pada jam 4.00 petang.

Berehat di R&R Gurun

Di Alor Setar, kami meneruskan perjalanan menggunakan lebuhraya Bukit Kayu Hitam dan tidak menggunakan jalan persekutuan seperti kali pertama kami pergi tahun 2006 dahulu. Dari lebuhraya tersebut, kami mengambil lebuhraya Changlun-Kuala Perlis dan keluar semula di Arau. Kami sampai di Petronas Arau tepat jam 5.30 petang menanti Izam seperti dijanjikan.

Aku menggunakan Google Earth untuk mengenal pasti Petronas tersebut dan Alhamdulillah, tepat jangkaanku. Hujan mula turun ketika kami berhenti disitu. Tidak lama kemudian, abang ipar ku Izam sampai dan membawa kami ke rumahnya yang terletak di antara Arau dan Kangar. Kami sampai ketika hujan lebat. Kami bernasib baik kerana ketika itu, banjir yang melanda negeri utara baru sahaja surut tetapi kami masih dapat melihat kesan-kesannya.

Malam yang kepenatan, kami hanya melayan tv dan facebook di rumah Izam.


Muzium Padi, Kedah
 Esoknya, kami hanya keluar dari rumah jam 10.30 pagi kerana perlu menyediakan bekalan makanan. Kami menuju ke Muzium Padi dan sempat singgah berposing di bendang yang baru ditanam. Kami tertanya-tanya di mana Muzium Padi tersebut kerana telah jauh kami berjalan mengikut Izam. Akhirnya sampai juga kami ke sana dan rupa-rupanya muzium tersebut terletak di negeri Kedah.


Sesuatu yang baru bagi kami melihat Muzium Padi ini kerana kebiasannya muzium mempamerkan barang-barang sejarah. Di Muzium tersebut mempamerkan segala yang berkenaan padi termasuk sejarah padi, nama-nama padi, alat-alat untuk bersawah sehinggalah bahasa kerbau. Aku tertarik kepada kucing bodoh, sebuah perangkap tikus yang digunakan petani. Apa yang lebih menarik, di bahagian atas bangunan terdapat sebuah auditorium yang mempamirkan pemandangan disekeliling bukit Keriang. Bila berada di pelantar tersebut seolah-olah kita sedang berada dipuncak bukit tersebut dan ia berputar memberikan kita gambaran 360 darjah bukit tersebut. Lukisannya amat hidup dan dibantu pencahayaan yang tepat sukar kita membezakan lukisan dengan replika.

Di dalam Studio je

Kami menjamah santapan tengahari yang dibawa di kawasan muzium tersebut yang penuh dengan wakaf-wakaf disediakan kepada pengunjung.

Dari Muzium Padi kami terus menuju ke Bukit Kayu Hitam melalui lebuh raya Alor Setar-Bukit Kayu Hitam. Jika anda memasuki lebuhraya di Alor Setar, anda perlu membayar tol lebuhraya tersebut di sana sebanyak RM1.60 je. Kami memasuki lebuhraya tersebut di Kepala Batas setelah bersolat di sana.

Di Bukit Kayu Hitam kami memandu melalui kaunter pemeriksaan imigresen. Tak perlu tunjukkan passport jika anda memberitahu mereka anda hanya mahu ke zon bebas cukai sahaja. Kawasan Bebas Cukai terdapat sebuah supermarket dan sebuah bazaar menjual barangan Thailand. Lori-lori kontena dari Thailand beratur panjang untuk memasuki Malaysia. Hujan turun dengan lebatnya disertai angin kuat ketika kami memasuki Bazaar.


Bazaar Bukit Kayu Hitam
Jam 5.30 petang, barulah kami selesai menerokai kawasan tersebut dan mula bergerak ke Jeti Kuala Perlis untuk menikmati Laksa Perlis. Kami sampai ketika hari hampir gelap. Izam dan keluarganya pergi sembahyang manakala kami yang bermusafir mula menikmati laksa. Bayi kami yang baru berumur 24 hari mula menunjukkan prestasi yang kurang memberansangkan mungkin kerana keletihan setelah berjalan seharian. Aku terpaksa balik dahulu kerumah walaupun Izam belum lagi makan. Aku disertai Angah dan Kak Iza balik dahulu walaupun kami bukanlah mahir jalan di Perlis. Berpandukan papan tanda jalan, akhirnya aku berjaya juga menemui jalan kembali ke rumah Izam.

Masjid Ubudiah


Istana Kenangan
 25.11.2010 kami bergerak semula balik ke selatan. Tetapi kami akan singgah bermalam di Lumut, Perak. Kami disertai Izam sekeluarga serta ibu mertuanya. Kami bertolak dari rumahnya jam 10.30 pagi. Di Arau kami sempat singgah bergambar di Istana Arau. Kami melalui lebuhraya utara selatan dan keluar di Kuala Kangsar, Perak. Kami menjamah makan tengahari di gerai makan di hadapan sungai Perak. Selesai makan, kami berhenti sembahyang di Masjid Ubudiah sambil mengambil gambar dengan sepuas-puasnya kerana selama ini kami hanya melihat antara masjid tercantik di negara ini melalui gambar sahaja. Sebelum bertolak, kami sempat juga singgah di Istana Lama Perak, Istana Kenangan yang telah diubah suai menjadi Muzium Diraja Perak. Ia juga dikenali sebagai Istana Istana Lembah dan Istana Tepas. Ia dibina dalam tahun 1926 sebagai istana sementara sebelum siapnya Istana Iskandariah. Keistimewaan istana ini ialah kerana ia tidak menggunakan walaupun sebatang paku logam. Ia terletak di sebelah Istana Perak yang baru. Malang sekali kami tidak dapat memasuki Muzium tersebut kerana ia sedang dalam proses baikpulih.


Taman Air
 Dengan rasa kecewa, kami bertolak dari Kuala Kangsar menuju ke Lumut. Dalam perancangan, kami akan singgah di Kelly’s Castle. Tetapi kami tidak sempat singgah kerana kami sudah terlambat untuk sampai ke Lumut. Akhirnya, kami membelok ke Beruas di Kampung Simpang Tiga dan mengambil jalan ke Lumut. Kami sampai ke Marina Cove Apartment jam 5.30 petang. Kami semua bersesak-sesak di dalam sebuah apartment. Tapi kami telah biasa begini.


Setelah check in, anak-anak mula mendesak untuk pergi ke Taman Air. Bayarannya agak mahal jika dibandingkan dengan permainan yang disediakan. Kami bermain air sepua-puasnya sehingga jam 8 malam.



Dalam Feri ke Pulau Pangkor

Di Pekan Pangkor
 Esoknya 26.11.2010, sebahagian dari kami ingin ke Pulau Pangkor. Awal pagi lagi kami telah sampai ke Jeti. Kereta di letakkan di tempat letak kereta majlis daerah dan kupon parking diletak sehingga jam kami pulang. Perjalanan menggunakan feri mengambil masa ½ jam sahaja. Di Pulau Pangkor, kami hanya berjalan di pekannya sahaja kerana kesuntukan masa untuk menjelajah seluruh pulau. Kami membeli baju T-Shirt, sotong, ikan bilis mata biru dan macam-macam lagi. Jam 2.00 petang kami telah sampai semula ke tanah besar dan bersembahyang di Masjid Besar Lumut sebelum berpisah dengan Izam yang akan balik ke Perlis semula. Kami berhenti makan di restoran di tepi jalan tidak jauh dari Lumut dalam perjalanan ke Teluk Intan. Di hentian rehat di persimpangan Teluk Intan/Hutan Melintang, kami sempat berjumpa sekali lagi dengan Zu, kawan isteriku ketika di Miri yang telah balik bertugas di kampong sendiri, Teluk Intan. Pertemuan tidak lama kerana kami harus balik terus ke Muar hari ini juga. Bekalan baju telah habis, manakala baju kotor telah berlambak.

Lunch @ 3 pm. Lapar....

Kerana ingin melihat pemandangan lebih menarik, kami mengambil keputusan untuk menggunakan jalan biasa saja menuju ke Klang. Kami menggunakan Laluan 5 dan dan melalui  Sabak Bernam, Sungai Besar,Sekinchan, Tanjong Karang dan Kuala Selangor. Traffik tidaklah sesak dan kami bergerak 80 km/j. Laluan 2 lorong mempercepatkan pergerakan kami. Kami sampai ke Kapar ketika hari mula gelap lebih kurang jam 7.30 petang. Hujan turun renyai-renyai menyukarkan aku melihat papan tanda jalan, manakala Angah dan Kak Izah hanya mengikut aku dari belakang. Ada juga aku menerima SMS bertanyakan bila hendak masuk highway. Agaknya telah penat. Aku bukannya mahir benar jalan di Klang, dan yang pasti, kami main redah je. Akhirnya jam 8.00 malam kami sampai ke Bandar Klang, bandar di mana aku pernah bersekolah semasa tingkatan 4 dan 5 di Kolej Islam Klang. Hajat hati untuk melalui sekolah aku tersebut tidak kesampaian kerana hari telah gelap. Akhirnya di Klang kami memasuki Lebuhraya Persekutuan setelah dua kali berpusing di sebuah bulatan kerana kurang pasti simpang yang perlu diambil.



Kedai Bebas Cukai
 Dari lebuhraya persekutuan, kami memasuki New Klang Valley Expressway kerana terlihat papan tanda KLIA. Sepatutnya kami meneruskan perjalanan di Federal Highway sehingga ke Shah Alam dan memasuki Lebuhraya Utara - Selatan Hubungan Tengah ke KLIA. Kami ikuti sahaja NKVE dan memasuki lebuhraya KLIA di Shah Alam. Perjalanan selepas itu hanya melalui highway dan kami sampai semula di Muar jam 11.30 malam.


Istana Kenangan

Rombongan di rumah Izam