Dari Luak ke Kundasang

Ini adalah catatan perjalanan dari Miri ke Sabah sepanjang aku berada di Miri dari 2002 hingga 2009. Setiap Tahun dari tahun 2004, Kota Kinabalu adalah destinasi mesti pergi bagi aku Setiap tahun. Sabah adalah sebuah negeri yang dipenuhi tempat-tempat menarik dari lautnya hinggalah ke gunung ganangnya. Semuanya yang menggambarkan Sabah amat menarik sekali.


Aku akan memulakan perjalanan seawal mungkin biasanya jam 7.30 pagi kerana walaupun jarak perjalanan tidaklah sampai 500 km ataupun separuh perjalananku ke Kuching, tetapi masa yang diambil agak panjang kerana anda akan melalui 10 pusat kawalan sempadan atau check point dan 2 feri. Jika boleh, elakkan perjalanan ketika cuti perayaan kerana cuti hari perayaan Malaysia dan Brunei adalah sama. Jadi pilihlah ketika waktu cuti sekolah kerana cutinya tidak sama. Jika anda bertembung dengan penduduk Brunei, pasti anda akan menyesal dan bertaubat beberapa kali kerana perjalanan bertambah sukar apabila anda terpaksa beratur panjang di border check point dan juga ketika menaiki feri Pandaruan. Anda pasti kagum dengan kesabaran penduduk Brunei menghadapi semua ini.


Jarak dari Bandaraya Miri ke sempadan di Sungai 7 hanyalah 35 km sahaja. Jika sebelum tahun 2005, anda perlu melalui feri di Kuala Baram dengan bayaran RM6, tetapi sekarang anda boleh menggunakan Jambatan Asean dengan bayaran TOL sebanyak RM10.00 untuk satu hala. Alangkah bertuahnya penduduk Pulau Pinang, bayaran TOL Jambatan Pulau Pinang yang sejauh 13 km itu hanyalah RM7 untuk kedua-dua hala.


Dalam masa 30 sahaja kami telah sampai ke sempadan. Ketika melalui Imigresen Malaysia, tunjukkan pasport anda tanpa perlu keluar dari kenderaan. Jika anda penduduk Sarawak, jangan lah mendesak jika mereka tidak menurunkan chop ke atas pasport anda kerana mereka tidak perlu berbuat demikian bagi menjimatkan muka surat passport anda supaya tidak cepat habis.


Selepas itu anda akan melalui pintu gerbang sempadan Malaysia-Brunei dan pusat kawalan keselamatan sempadan. Laluilah dengan senyuman dan berilah salam kepada Polis Sempadan. Lebih kurang 500 meter, barulah anda melalui check point Brunei. Tunjukkan passport anda dan berhenti di kaunter Kastam Brunei. Isikan borang kebenaran memandu kenderaan dan kemukakan kepada mereka. Anda perlu mengetahui nombor chasis dan nombor enjin kenderaan anda selain tarikh tamat insuran kereta anda. Insuran kereta anda juga meliputi perjalanan di Brunei.
Sungai 7 border check point


Pelantar daratan sedang bekerja

Rumah-rumah orang Brunei
 Selesai segala urusan, bolehlah bertolak dari sempadan menuju ke Kuala Lurah, sempadan Brunei-Limbang pula. Anda perlu melalui jambatan Sungai Rasau. Anda perlu membayar TOL sebanyak RB3.00. Jika tiada matawang Brunei, anda juga boleh menggunakan matawang Singapura. Tiada apa disepanjang perjalanan yang menarik perhatian. 1 km dari TOL tersebut adalah simpang ke bandar Seria. Jika anda ingin menyaksikan pemandangan yang lebih menarik, melalui bandar, pelantar minyak daratan dan rumah-rumah banglo yang besar dan design yang lebih antarabangsa, anda boleh membelok ke kiri menggunakan jalan dalam yang melalui bandar Seria dan penempatan serta perkampungan Shell. Jika tidak, jalanlah terus melalui jalan pintas tersebut. Selepas itu, anda akan melalui jalan dua lorong, tetapi jangan teruja memecut laju kerana anda pasti di potong oleh BMW, Mercedes atau Nissan Skyline atau Fairlady orang-orang Brunei. Harga kereta di sana sangat murah kerana tiada cukai duti import dan lain-lain. Pendapatan mereka juga mencecah 4 angka walaupun kelayakan tidak tinggi. Amat biasa bagi mereka cikgu sekolah rendah boleh menggunakan Hyundai Tucson, manakala suaminya menggunakan Toyota. Kereta Nasional Malaysia hanya digunakan oleh pendatang Bangla sahaja.


Apabila anda sampai ke Kampung Telisai dan persimpangan ke Lumut, jalanraya kembali kepada 1 lorong sahaja. Selepas itu jalan kembali ke 2 lorong. Sebelum sampai ke pekan Tutong, jika anda mahu segera sampai ke Limbang, gunalah jalan pintas yang melalui Tasik Merimbun, Jalan Batang Mitos dan terus ke Kuala Lurah sebelum memasuki sempadan Limbang. Jika ingin ke Bandar Seri Begawan, teruskan perjalanan. Dari BSB juga terdapat jalan ke Kuala Lurah. Di Kuala Lurah ada sebuah Stesen Shell jika anda ingin mengisi minyak. Harga minyak di Brunei jauh lebih murah dari Malaysia. Hanya Rb57 sen sahaja (RM1.40) sahaja. Harga ini tidak pernah naik sejak dahulu lagi. Minyaknya pula lebih berkualiti. Tetapi jika anda memandu menggunakan kereta negara asing, anda perlu mengisi minyak di pam yang dikhaskan kepada kereta asing dengan harga yang lebih mahal dari harga di Malaysia.


Queing at Kuala Lurah border check point
Setelah menempuh perjalanan selama satu jam lebih, kami tiba di check point Kuala Lurah, Brunei. Kami terpaksa beratur lebih 1/2 km bagi melepasi check point tersebut. Suatu situasi yang biasa dan masih boleh diterima akal. Kami pernah beratur selama tiga jam sepanjang 3 km bagi melalui check point tersebut pada tahun 2005 kerana ketika itu cuti Tahun Baru Cina. Aku kagum dengan orang Brunei yang begitu sabar sanggup menghadapi situasi sebegini setiap kali mereka membuat perjalanan. Semasa melalui kaunter Kastam, anda harus menunjukkan pas kenderaan anda untuk direkodkan.


Setelah melalui check point Kuala Lurah, Brunei, kami melalui pula check point Tedungan, Limbang. Tidak banyak masalah di hadapi. Bangunannya masih baru dan banyak kaunter disediakan. Tapi tetap tiada gunanya jika disebelah Brunei hanya menyediakan 2-3 buah kaunter sahaja. Jika anda warga asing anda harus mengisi borang ketibaan dan bertolak di samping passport anda. Perjalanan dari Tedungan ke Bandar Limbang cuma lebih kurang 38 km mengambil masa 40 minit.


Di Bandar Limbang aku singgah restoran kegemaran ku Restoran Tomyam yang terletak dekat Bank Simpanan Nasional. Harga yang berpatutan dan yang paling penting rasa yang sedap. Jam baru pukul 12.00 tengah hari, kami terus menikmati makan tengahari di situ. Kadang-kadang aku datang ke Limbang dari Miri semata-mata untuk makan tengahari di restoran ini.


Kami berhenti makan selama satu jam. Tepat jam satu, kami memulakan perjalanan semula menuju ke Feri Sungai Pandaruan untuk memasuki Brunei semula di Daerah Temburong. Jarak dari bandar Limbang hanya berbelas km sahaja. Check point Imigresen Malaysia di Pandaruan terletak dalam perjalanan menuju ke feri tersebut. Sungai Pandaruan tidak lah sebesar mana. Cuma 70 meter sahaja. Tapi sedih sekali kerana masih belum ada jambatan. Untuk menyeberanginya, anda perlu menggunakan feri dengan bayaran RM8.


Di seberang sungai tersebut, kami berhenti di check point Puni pula. Check point ini terletak di sebuah pondok dan anda harus keluar dari kereta dan menunjukkan pasport anda di pondok tersebut untuk di cop. Setelah menurunkan visa dan menunjukkan pas kenderaan, kami meneruskan perjalanan melalui Daerah Temburong, Brunei. Setelah setengah jam perjalanan melalui pekan Bangar, sawah padi dan hutan, kami tiba di Labu, check point Brunei. Setelah melepasi pemeriksaan Kastam dan Imigresen, kami telah memasuki Daerah Lawas, Limbang dan meneruskan perjalanan ke ke Trusan lebih kurang 5 km dari situ. Kami harus menyeberangi Sungai Trusan menggunakan feri dengan bayaran RM10.00. Anda harus berhati-hati supaya tidak melepasi check point Imigresen Malaysia Trusan yang terletak di bangunan rumah kedai di sebelah kiri  lebih kurang 500 meter selepas sungai Trusan tersebut.


Jambatan Gantung menuju ke Merapok
Perjalanan dari Trusan ke bandar Lawas mengambil masa 30 minit. Semasa melalui Bandar tersebut, pertandingan Regatta Lawas sedang berlangsung. Kami berhenti sebentar untuk menyaksikan pertandingan tersebut dan meneruskan perjalanan setelah mengambil gambar.


Destinasi seterusnya adalah Merapok, sempadan Sabah dan Sarawak yang terletak lebih kurang 40 km dari Lawas. Di Merapok anda perlu menunjukkan paspot untuk rekod dan jika anda bukan warganegara Sarawak, anda perlu menunjukkan pasport kepada Imigresen Sabah. Anda kini sudah berada di Sindumin, Sabah. Perjalanan selepas itu menyeronokkan kerana jalannya yang rata dan cantik, melalui kampung dan sawah. Banyak masjid dilalui, suatu pandangan berbeza dengan Sarawak. Lebih kurang 30 minit memandu, kami sampai di Sipitang dan berhenti sembahyang Zohor dan Asar di Masjid Besar Sipitang.
Berhenti sembahyang di Masjid Sipitang


Bandar yang dilalui seterusnya adalah Beufort yang terletak lebih kurang 50 km melalui laluan A2. Kami tidak membuang masa dan meneruskan perjalanan ke Papar yang melalui Membakut di laluan yang sama. Jalannya yang berkualiti, rata, lurus amat menyeronokkan pemanduan.


Jika anda ingin melalui Pekan Papar, anda harus membelok di bulatan manakala jalan terus adalah by Pass ke Kota Kinabalu. Keadaan jalan by pass agak teruk melalui sawah padi. Jika anda ingin melalui Papar, jalan anda akan bertemu semula sebelum sampai Kem Lok Kawi, kiranya telah memasuki kawasan Kota Kinabalu. Sebelum memasuki pusat bandar KK, anda perlu melalui Putatan.


Lebih kurang 10 km, barulah anda sampai ke pusat bandar KK. Kebiasaannya, kami menginap di Hotel Tabung Haji di Sembulan kerana parkingnya luas. Biliknya pun luas dan kadar yang murah. Terdapat potongan juga untuk kakitangan awam.



Bandaraya Kota Kinabalu
KK sebuah bandar yang tersusun dan terancang dengan baik. Jalan-jalannya luas manakala bangunan-bangunan seolah-olah disusun dengan baik. Ia seolah-olah bandar baru dan amat berbeza dengan ibu kota-ibu kota lain di Malaysia. Tarikan utama di bandaraya KK terutama kepada kaum Ibu adalah Pasar Filipin. Produk utama adalah mutiara dan batu permata. Terdapat juga kedai barang cenderamata. Diluar bangunan beberapa tukang jahit jalanan mengambil upah menjahit untuk yang mudah-mudah sahaja seperti memotong kaki seluar, menjahit koyak dan lain-lain. Ada juga perempuan remaja yang menjual air secara bergerak. Mereka membawa air dan cawan di dalam bakul dan bekas air untuk membasuh cawan. Mereka akan menghampiri orang yang sedang menunggu bas dan jika terdapat pesanan, mereka akan membancuh airnya. Agak kreatif juga penduduk di sini mencari pendapatan terutama penduduk Filipina. Suasana begini jarang didapati di bandar-bandar lain. Terdapat juga kanak-kanak yang menjual plastik di pasar-pasar ikan untuk membawa ikan. Boleh di fahami, desakan keperluan hidup menyebabkan orang menjadi kreatif. Hanya tinggal keinginan sahaja menjadi ukuran. Yang penting ianya halal.


Pantai di Bandaraya KK
Air laut disepanjang pantai KK jernih dan biru. Anda boleh melihat ikan berenang walaupun di pelabuhan yang sibuk, tetapi airnya tetap jernih tidak tercemar.


Sebelah malamnya, gerai malam diluar pasar Filifina amat meriah sekali. Terdapat deretan gerai menjual ikan bakar. Harganya pula berbeza-beza bukan sahaja mengikut saiz dan jenis ikan, tetapi mengikut jenis pelanggan juga. Sayur-sayur dan gerai makanan lain juga terjual di situ. Sayur-sayurnya amat murah sehinggakan aku membeli cili dan terung satu plastik besar untuk di bawa balik. Sebuah gerai ikan menjual ikan Tongkol yang sebesar ikan lumba-lumba.


Memilih brooch di pasar malam KK
Di seberang jalan pasar Filifina, di belakang deretan lot-lot bangunan kedai, pasar malam juga memeriahkan malam setiap malam. Ia menjual pelbagai barang seperti kasut, baju, jam, mutiara dan permata dan lain-lain. Jika pandai mencari dan menawar, harganya lebih murah dari pasar filipina.


Menjamu ikan bakar
Jika anda ingin menikmati udara tanah tinggi, anda harus naik ke Taman Negara Kinablu. Jalannya penuh liku dan mencabar. Perjalanan selama 2 jam lebih sangat indah sekali dan anda sering tertanya-tanya adakah anda sudah sampai ke paras tertinggi, tetapi belum juga dan anda akan terus mendaki dan mendaki. Anda boleh memilih untuk tinggal di Taman Negara atau Hotel atau Inn di sepanjang jalan ataupun di Kundasang. Kundasang memiliki beberapa Hotel dan Inn yang memenuhi citarasa anda. Angin malamnya sangat sejuk sekali ketika kami menginap di Zen Garden. Kerana tidak membuat tempahan bilik, kami terpaksa menginap di chalet yang agak mahal. Chalet-chalet atau cabin yang lebih murah semuanya telah penuh. Zen Garden ini juga terletak diluar sedikit dari Kundansang. Kerana nak mudah, kami masak nasi di hotel, tetapi lauknya kami tapau dari restoran di Kundasang. Beginilah kami menjimatkan kos apatah lagi kami pergi 2 keluarga. Periuk nasi dan cerek air kami bawa kemana-mana.


Gerai Bunga di Kundasang
Kolam air panas juga terdapat tidak jauh dari Kundasang. Anda perlu mengikut jalan ke Sandakan dan membelok ke simpang ke air panas dan ikutlah papan tanda jalan.


Pada tahun 2008, kami menukar selera ke pulau pula. Pulau yang paling popular ialah pulau Manukan kerana ia terletak setengah jam menaiki bot dari KK. Aktiviti yang paling menyeronokkan iala scuba diving. jika ada rezeki lebih anda boleh mencuba scoobado, kapal selam mini. Kami mandi dari pagi hingga ke petang. Airnya sangat jernih dan anda boleh berenang dan memberi ikan makan.


Petangnya kami kembali ke daratan bersama kepenatan dan muka yang terbakar dek sinaran matahari.


Kolam Air Panas

KK dilihat dari Pulau Manukan

Gunung Kinabalu, pemandangan dari bot
Di pintu masuk Tugu Peringatan Perang Kundasang
Setelah beberapa hari di sana akhirnya kami balik ke Miri, tetapi sebelum pulang, kebiasaannya kami akan singgah di Bandar Seri Begawan untuk berjalan-jalan.

Err.. tengok je la sendiri
Pondok Timpohon, pintu mendaki gunung Kinabalu
Bangunan Yayasan Sabah