Jejak Sambas-Pontianak

Pos Kawalan Sempadan Entikong

1.6.2009

Tidak ada tarikh lain yang lebih sesuai dengan jadual kami, akhirnya 1 Jun 2009 dipilih untuk menjejaki laluan ini. Perjalanan tersasar dari jadual asal. Hanya jam 6.30 pagi, baru bertolak dari rumah di Kampung Tanjong Apong, Samarahan, Sarawak. Destinasi pertama adalah Bandar Serian kerana seorang kawan telah menunggu di sana. Perjalanan sejauh 60 km lebih sahaja melalui jalan Ensengei-Siniawan Jepun-Kpg Menaul mengambil masa sejam lebih. Setelah bersarapan di Restoran Sofiabon, kami mula bertolak ke sempadan di Tebedu yang lebih kurang 41 km dari Serian pada jam 8.00 pagi. Ketika tiba di Pos Kawalan Sempadan di Tebedu, Sarawak, jam telah pun 9.00 pagi. Tangki minyak kereta telah dipenuhkan di satu-satunya stesen Petronas Tebedu kira kira setengah kilometer dari pos sempadan.

Kepada yang ingin memandu kenderaan masuk ke Indonesia, langkah-langkah berikut perlu diikuti. Oleh kerana Insuran Kenderaan Bermotor Malaysia tidak merangkumi perjalanan ke Indon, anda perlu mengambil insuran lain untuk tempoh sepanjang anda berada di sana. Tak perlulah nak ambil setahun.

1. Borang kebenaran memasuki dan membawa kenderaan ke Indonesia yang dikeluarkan oleh Kerajaan Indonesia boleh didapati di Kaunter Imigresen Malaysia dan perlu ditandatangi pelepasan oleh Jabatan Kastam dan Eksais dan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia. Sijil Pendaftaran Kenderaan samada yang telah disahkan salinan ataupun yang asal perlu ditunjukkan bersama. Setelah ditandatangani pelepasan oleh Kastam dan JPJ, jangan lupa mendapatkan pelepasan keluar dari Jabatan Imigresen pula. Tunjukkan passport antarabangsa yang berwarna merah anda.

2. Setelah itu, perjalanan diteruskan hingga ke pintu pagar sempadan Indon. Sebelum memasuki pintu tersebut, berhenti melapor diri di pondok Polis bagi memaklumkan kita telah memasuki Indonesia sebagai rekod mereka. Mereka akan membekalkan anda sekeping surat kebenaran yang akan dikembalikan bila anda kembali memasuki Malaysia.

3. Setelah itu, masuklah melalui pintu pagar dan nah, anda telah menjejak kaki ke bumi Indonesia. Syabas. Jika ini kali pertama anda ke Indonesia, sapukan sedikit tanah di bumi Indonesia ke dahi (Optional).

4. Ketika menghampiri pos kawalan keselamatan Indonesia, pos kawalan yang pertama dilalui adalah Imigresen. Isikan borang Memasuki dan Meninggalkan ‘Arrival and Departure’ bersama passport anda. Jangan risau jika tidak pandai mengisi borang ataupun terlalu banyak borang untuk diisi kerana beberapa orang akan mendekati bagi menolong mengisi borang ketibaan dan bertolak tersebut. Tapi, jangan teruja dengan pertolongan mereka kerana mereka perlu dibayar RM5 untuk satu pasport. Jika anda menolak khidmat mesra mereka, anda mungkin dimarahi oleh Pegawai Imigresen ketika anda ingin mendapatkan chop pelepasan pada passport anda. Sebelum mendapatkan pelepasan Imigresen, satu pemeriksaan kesihatan perlu dijalankan kerana ketika itu Inluenza A sedang merebak. Setiap orang perlu mengisi borang kuning. Beberapa orang menghampiri untuk memberikan perkhidmatan mengisi borang tapi ditolak kerana sudah RM30 dibayar kepada mereka. Setelah itu barulah beratur di kaunter Imigresen bagi mendapatkan chop pelepasan.

5. Jika anda menaiki bas, bolehlah anda terus menaiki bas selepas itu. Tapi jika anda memandu sendiri, mula-mula sekali perlu mendapatkan polisi insuran bagi melindungi kereta anda kerana polisi insuran kereta Malaysia hanya meliputi perjalanan di Brunei dan Singapura sahaja dan tidak ke Indonesia. Bagi tempoh 7 hari, saya membeli polisi insuran yang terdapat kaunternya di pos kawalan tersebut dengan harga Rp177,000.00. Setelah itu, kita perlu mendapatkan kebenaran dari bapak Polisi. Lesen Memandu yang sah perlu ditunjukkan bagi mendapatkan kebenaran memandu di Indonesia. Setelah itu, kebenaran pula perlu diperolehi dari JPJ Indonesia yang akan mengeluarkan pelekat sementara yang akan dilekatkan di cermin kereta anda. Setelah itu barulah Kastam memberi pelepasan setelah membuat sedikit pemeriksaan dan memberikan satu lagi pelekat untuk diletakkan dicermin kereta. 

Pelekat Kebenaran untuk kenderaan
Tebedu, suatu ketika dahulu adalah satu lokasi menarik di sempadan bagi membeli belah barang-barang yang murah, eksotik dan jarang ditemui. Penduduk Malaysia boleh memasuki Indonesia tanpa pas ke pusat penjaja tersebut yang terletak di tepi sempadan di sebelah Indonesia yang di panggil Entikong. Beberapa tahun kemudian pengunjung semakin berkurangan kerana kawalan ketat Imigresen. Akhirnya muncul satu pusat penjaja yang baharu dikenali sebagai Serikin yang terletak di Daerah Bau, Kuching. Pusat penjaja di Tebedu akhirnya tiada lagi dan digantikan dengan sederet beberapa lot kedai yang terletak setengah kilometer dari pos kawalan tersebut.

Setelah satu jam lebih, barulah segala urusan di sempadan selesai dan perjalanan dimulakan pada 10.10 pagi dari sempadan tersebut. Jalanraya yang dilalui lebih sempit dari Malaysia dan tidak mempunyai bahu jalan. Rumput tumbuh sehingga ke tepi jalan. Tidak ada garisan tepi jalan. Seolah-olah tidak ada Pihak Berkuasa Tempatan yang memotong rumput dan menyelenggara jalan. Terdapat banyak lubang kecil dan besar disepanjang perjalanan yang tidak sihat untuk rim dan penyerap hentakan kereta anda. Berhati-hati kerana terdapat banyak longgokan batu dan pasir di tepi jalan. Ia bertujuan untuk menampal lubang-lubang jalan tersebut. Kerja-kerja tersebut dilakukan oleh kontraktor-kontraktor kecil yang menampal jalan dengan simen konkrit dan bukannya dengan tar.


Setelah melalui lebih kurang 22 km tibalah di Pekan Balai Karangan. Jangkaan tentang ketiadaan stesen petrol disepanjang perjalanan meleset kerana di sini terdapat stesen minyak Pertamina. Kami beriringan dengan sebuah Ford Ranger biru bernombor pendaftaran Kuching. Setelah lama mengekori, akhirnya kami memotongnya juga.

Stesen Minyak Pertamina

Setelah itu, pekan seterusnya adalah Sosok terletak 2 jam perjalanan dari sempadan. Di sini terdapat simpang tiga yang mempunyai tugu di tengah-tengah jalan seolah-olah sebuah bulatan. Arah kanan adalah menuju ke Pontianak/Sambas manakala simpang ke kiri menuju ke Sanggau dan Kalimantan Tengah dan Timur. Di Sosok ini juga terdapat sebuah stesen petrol Pertamina. Di sana anda tidak akan menemui Shell mahupun Petronas kerana Pertamina adalah satu-satunya stesen minyak tunggal di sana.

Tugu di persimpangan Sosok

Perjalanan diteruskan lagi melalui jalan yang lebih teruk dan tidak diselenggara. Terdapat lebih banyak lubang-lubang yang lebih besar dan pada satu ketika terpaksa dilalui dengan kelajuan minima dan berhati-hati. Jika anda memandu kereta sedan, bersedialah untuk mendengar bahagian bawah kereta anda terkena jalan ketika anda melalui lubang-lubang tersebut. Pada satu bahagian, terdapat kerosakan jalan yang teruk sepanjang hampir 50 meter. Terdapat beberapa orang kelihatan menghulurkan satu kotak kepada pemandu kereta yang melalui kawasan tersebut dan pemandu tersebut memasukkan wang ke dalam kotak tersebut. Setelah menghulurkan dua keping wang Rp1000, mereka memberitahu ia adalah sebagai bayaran membaiki jalan yang rosak teruk tersebut. Rupa-rupanya mereka hanya menimbus kerosakan tersebut dengan tanah merah. Ia tidaklah membaiki keadaan malah memburukkan keadaan terutama bila hari hujan.

Jalan dari di antara Balaikarangan ke Sosok


Banyak bas-bas mini berhenti-henti ditemui semasa di perjalanan. Bersyukurlah jika di Malaysia kita tidak perlu bergayut di pintu bas ataupun duduk di atas bumbung bas, tetapi itulah penduduk di sana lakukan jika ingin menaiki bas. Kanak-kanak sekolah berjalan di tepi jalan balik dari sekolah tanpa kasut. Ada yang menjinjing kasut mereka. Mungkin tak nak kasut rosak cepat barangkali. Baju sekolah coklat muda dan seluar atau kain coklat pekat seperti pakaian seragam kelas Tasmik pelajar sekolah di Malaysia. Masjid dan gereja berselang seli di sepanjang perjalanan. Rata-rata kubah masjid dibuat dari besi berkilat (chrome). Rupanya ia memang ada dijual dalam berbagai saiz dan bentuk. Jika ingin mencari cenderahati untuk masjid kampung anda, bolehlah memilih kubah ini untuk dibawa balik.

Anda terpaksa bergayut untuk menaiki bas jika tidak bernasib baik

Kubah masjid pelbagai saiz untuk dijual

Pekan Ngabang

50 minit melalui jalan yang rosak dan berlubang-lubang dan melalui sebuah gunung dengan jalan yang berliku-liku maka sampailah ke pekan Ngabang. Pekan ini terletak di tepi Sungai Landak. Muara Sungai Landak terletak di bandar Pontianak. Terdapat sebuah jambatan besi yang sempit dan hanya untuk satu laluan sahaja sepanjang 150 meter menyeberangi Sungai Landak tersebut. Bagi laluan yang bertentangan, kenderaan perlu menggunakan jambatan yang sebuah lagi.

Akhirnya sebuah restoran yang mempamirkan ’bismillahirrahman nirrahim’ dipilih untuk makan tengahari. Berhati-hati ketika mencari kedai makan di kawasan pedalaman seperti ini kerana ada peniaga bukan beragama Islam dan menjual hidangan khinzir, tetapi wajah mereka seperti orang melayu. Setelah berhenti makan selama satu jam lebih dengan bayaran Rp150,000, perjalanan diteruskan lagi.

Perjalanan selepas ini agak mudah kerana jalan rosak telah berkurangan. Jalan yang tidak sesibuk mana melancarkan perjalanan. Walaubagaimanapun, agak sukar memotong kenderaan yang dipandu perlahan kerana jalan yang sempit dan berliku-liku. Menjadi tabiat pemandu disana untuk tidak mematikan lampu isyarat memotong walaupun belum mempunyai kesempatan untuk berbuat demikian. Akhirnya pemandu dibelakang juga yang terkeliru, samada pemandu dihadapan mahu memotong atau membelok ke kanan.

Setelah memandu selama 2 jam, maka sampailah ke persimpangan Pontianak-Sambas di pekan Sungai Penyu atau pun Sei Binyu. Simpang ke kanan menuju ke Sambas manakala jalan tegak menuju ke Pontianak. Kami mengambil jalan ke Sambas kerana kami harus menghantar pembantu rumah kami ke kampungnya.

Pekan yang ditemui selepas 20 minit memandu itu ialah Mempawah. Terdapat ’by pass’ di sana, maka tak perlulah melalui pekannya. Mempawah agak teratur dengan jalan yang cantik dihiasi pokok ’bottle palm’ di sepanjang jalan. Bangunan pejabat kerajaannya di dalam bangunannya sendiri indah dijaga. Beberapa penjual di tepi jalan menjual khemah berbagai saiz, kolam mandi dan entah apa lagi yang dipamerkan di tepi jalan. Jalan mula dipenuhi motorsikal kerana waktu itu waktu pulang dari kerja.

Pertamax sudah tidak menggunakan campuran plumbum dan metal lainnya yang sering digunakan pada bahan bakar lain untuk meningkatkan nilai oktan sehingga Pertamax merupakan bahan bakar yang sangat mesra alam sekitar. Pertamax adalah petrol yang mempunyai kandungan RON 92 dan berharga Rp10,250 (RM3.40) seliter.

Jalan sempit. Nak berselisih pun susah

Manakala minyak Premium nya adalah minyak yang mempunyai RON 88 sahaja. Harganya Rp. 4500 seliter ataupun RM1.50 se liter. Harganya lebih murah kerana ia adalah minyak bersubsidi. Solar pula adalah diesel dijual dengan harga Rp.4500 juga seliter.
.
Jalan dari Mempawah agak sempit dan melalui kampung-kampung yang rumah-rumahnya dibina berdekatan jalan sahaja. Jalan dipenuhi motorsikal yang ditunggang agak ketengah jalan dan pejalan kaki serta kanak-kanak berlari-lari di tepi jalan. Pada situasi sebegini sukar untuk memandu melebihi 60 km/j. Hanya sekali-sekala kereta sedan lalu. Selebihnya adalah kenderaan pacuan empat roda dan mpv yang pastinya dimonopoli oleh Toyota Innova, Avanza dan Kijang. Agak mengelirukan apabila pemandu di sana sentiasa menghidupkan lampu isyarat membelok ke kanan sepanjang jalan. Ingatkan mereka hendak membelok ke simpang di kanan. Tetapi ini adalah tabiat mereka. Mungkin mereka hendak memotong kenderaan di hadapan tetapi belum berpeluang, tetapi isyarat masih dinyalakan. Maka sepanjang jalan lampu isyarat mereka berkelip-kelip.

Beberapa jambatan kecil sedang dinaik taraf. Mungkin kerana kontraktor yang dilantik hanya kontraktor kecil-kecilan, tidak ada jentera berat digunakan wa’ima untuk menggali lubang, hanya cangkul digunakan. Matahari jam 4 petang memancar ke wajah. Oh ye, masa di Indonesia Barat lewat satu jam dari jam Malaysia. Jadi, jika jam anda jam 4 petang, ia adalah jam 3 ketika itu di sana walaupun kedudukan matahari bukanlah jauh berbeza dengan Malaysia.

2 jam memandu dengan penuh hati-hati mengelak lubang jalan, pejalan kaki dan penunggang motorsikal, akhirnya sampailah ke bandar yang lebih besar iaitu Singkawang. Kebanyakkan pembantu rumah dari Sambas memiliki pasport yang dikeluarkan dari kantor di Singkawang. Kami tidak singgah ke bandar tapi menggunakan jalan pintas ke Pemangkat. Perjalanan lebih kurang sama dengan sebelum ini. Tanda-tanda jalan agak sukar difahami, kecil dan terlalu tinggi. Jika tanda jalan menunjukkan arah, ia diletak betul-betul dihadapan simpang tersebut. Jadi berhati-hati, memandu perlahan ataupun anda akan terlepas simpang tersebut.











Azan maghrib sedang dilaungkan ketika sampai ke Pemangkat. Pekannya tidak terlalu besar tetapi mempunyai kemudahan bank yang mencukupi. Selepas pekan Pemangkat adalah pekan Selakau. Walaupun hari telah gelap, perjalanan tetap diteruskan kerana kami perlu sampai ke Sambas pada hari tersebut juga. Alhamdulillah, perjalanan dipermudahkan dan kami sampai ke Hotel Pantura Jaya, Sambas pada jam 7.30 malam setelah menempuh perjalanan sejauh 530 km.





Hotel Pantura Jaya, Sambas.
Tel (0562)393165

Setelah periksa masuk ke bilik, kami terus menikmati makan malam di Restoran Masakan Padang di seberang jalan berhadapan Hotel Pantura Jaya tersebut. Restoran tersebut menghidangkan semua jenis lauk dan makanan yang terdapat di situ di dalam mangkuk atau pinggan kecil. Tetapi mereka hanya mengenakan bayaran ke atas lauk yang dimakan sahaja. Lauk yang dihidangkan terlalu banyak hingga ada di antara lauk tersebut tidak sempat disentuh kerana telah kenyang. Ada terdapat kulit lembu masak kari, tendon lembu, perut lembu, ayam, ikan, sambal dan bermacam-macam lagi.

Setelah kenyang, kami balik ke hotel untuk berehat sebelum menempuh hari esok. Malam tersebut diserikan dengan bunyi kipas tandas yang kuat apabila dibuka lampunya. Lampu tandas terpaksa dibuka kerana hotel tersebut tidak mempunyai lampu tidur. Penyaman udara tidak terlalu menyejukkan walaupun telah dilaras ke tahap maksimum. Terdapat masalah bila mahu mengecaj telefon bimbit kerana soket punca kuasa dihotel tersebut hanya terdapat dua lubang sahaja. Jika alatan elektrik anda menggunakan plug 3 pin, anda terpaksa membeli converter yang berfungsi seperti multi plug yang berharga Rp4000 (RM0.70) sahaja. Rupanya semua hotel yang aku duduki menggunakan punca kuasa seperti itu. Tidak hairanlah periuk elektrik buatan Indonesia yang aku pernah beli suatu ketika dahulu hanya menggunakan plug 2 pin sahaja. Plug 3 lubang adalah untuk penyaman udara dan mesin vakum sahaja.

Adaptor untuk kegunaan alat letrik 3 pin

Restoran Makanan Padang di depan Hotel

Punca kuasa (power point) di dalam bilik hotel






2.6.2009


Pagi dimulakan dengan lebih bertenaga. Sarapan pagi hanya dihidangkan selepas 7 pagi. Jam di tangan telah menunjukkan 7.07 pagi tetapi restoran masih tutup dan belum ada sesiapa di sana. Yang ada hanyalah penyambut tetamu di kaunter. Hampir terlupa jam aku masih lagi waktu Malaysia. Ini bermakna di situ jam baru 6.07 pagi, dan sarapan pagi hanya dihidangkan bila jam tangan sampai pukul 8.00. Aku mula menjelajah pekan Sambas yang terletak 1 kilometer dari hotel tersebut dengan perut keroncong sambil menyaksikan bot-bot penambang di Sungai Sambas Kecil yang baru sampai dari kampung-kampung yang jauh di pedalaman yang tidak mempunyai perhubungan darat. Belum ada bot dari Sendoyan tiba.





Pekan Sambas

Pasar di tepi sungai Sambas
Mengikut kata beberapa orang di situ, ia akan sampai jam 7.00 pagi. Sendoyan adalah kampung halaman pembantu rumah kami. Ini adalah kali pertama beliau balik ke kampung halaman setelah 2 tahun setengah bekerja dengan kami.

Azrin terlentok disapa bayu
Seorang pakcik yang berasal dari Sarawak menawarkan perkhidmatan bot laju yang mengambil masa setengah jam sahaja ke kampung tersebut berbanding dengan 4 jam jika menggunakan bot biasa. Tapi bayarannya Rp500,000 untuk sebuah bot. Jika menggunakan bot biasa tambangnya hanyalah Rp20,000 sahaja. Akhirnya kami pun bersetuju menggunakan bot laju. Kami kembali ke hotel untuk mengambil beg-beg dan check out. Sebelum itu kami sempat menjamah nasi goreng dan air kopi o, menu utama sarapan pagi di hotel tersebut. Setelah keluar hotel, kawan ku memohon hendak pulang ke Sarawak, tetapi tidak melalui Tebedu, sebaliknya melalui Biawak. Biawak adalah satu lagi pintu masuk tetapi kurang popular kerana jalannya dalam pembinaan walaupun ia memendekkan jarak Sambas dengan Kuching. Mengikut kata kawan tersebut, jalan yang dilaluinya masih bertanah merah dan terpaksa merentas sungai dengan jambatan yang dibuat dari batang pokok sahaja dan hanya direkomen kepada kenderaan pacuan 4 roda sahaja.
Bot laju yang kami naiki menggunakan enjin sangkut berkuasa 40 kuasa kuda meluncur laju walaupun ia bukanlah selaju yang diharapkan menyusuri sungai Sambas Kecil menuju ke hulu sungai dan melalui beberapa perkampungan di tepi sungai yang tidak diketahui nama kampungnya.

 
Rumah Rakit di sepanjang sungai Sambas

Rumah-rumah dibina rapat dan dihubungkan dengan rumah yang lain dengan titi atau jambatan. Terdapat juga beberapa buah rumah rakit yang terapung malah kedai runcit juga terletak di atas rakit. Tandas-tandas dibina di atas sungai dan beberapa penduduk kampung sedang mandi, menggosok gigi dan membasuh baju. Sungguh mengkagumkan kerana walaupun kampung-kampung ini tidak mempunyai jalan perhubungan darat, tetapi ia mempunyai menara telekomunikasi sekurang-kurangnya sebuah!

Setiap kampung ada menara telekomunikasi

Di hadapan Keraton Sambas


Setelah menyusuri sungai selama 30 minit dan memasuki sungai Sambas Besar, maka sampailah ke Sendoyan, sebuah perkampungan di tepi sungai. Mempunyai sebuah sekolah rendah dan penduduknya mencari nafkah sebagai petani. Lebih kurang 40 minit berehat di rumah pembantu rumah, kami pun balik semula ke Sambas meninggalkan pembantu rumah bersama keluarganya.
Dalam perjalanan balik, pemandu bot sempat juga membawa kami singgah di Keraton Sambas yang terletak cuma dihujung pekan Sambas. Cuaca panas perut yang dah berkeroncong menyebabkan kami singgah sebentar aja.

Hasrat hendak bertolak ke Pontianak jam 11.30 pagi tergendala kerana salah satu tayar kereta pancit. Kami cuma menyedari bila seorang makcik menegur ketika berhenti makan tengahari. Kami menghadapi masalah komunikasi bila menerangkan mahu menampal tayar kerana mereka tidak faham perkataan tayar. Setelah ditunjukkan tayar yang pancit, barulah mereka faham. Di sana, tayar dipanggil ban. Kesukaran mencari gas nitrogen untuk tayar memaksa udara biasa sahaja yang digunakan. Setelah membayar Rp20,000 kami pun meneruskan perjalanan pada jam 1.20 petang.

Perjalanan menyeronokkan kerana pemanduan bersantai-santai dan tidak ada apa yang hendak dikejar. Banyak lori 2 tan berwarna kuning ditemui sepanjang perjalanan yang padamulanya disangka lori Court Mammoth. Banyak terdapat bengkel mini yang memberikan perkhidmatan menampal tiub dan menjual petrol ditepi jalan. Papan-papan iklannya di tepi jalan dalam bahasa Indon menarik perhatian kami.



Kami melalui Singkawang jam 3.00 petang dan meneruskan perjalanan ke Pontianak. Kami melalui lagi Mempawah dan Bei-Pinyu. Di Bei-Pinyu, kami membelok ke kanan menghala ke Pontianak. Jalan semakin lebar dan kenderaan semakin banyak. Akhirnya jam 5.30 petang, kami sampai ke bandar Pontianak ketika penduduknya sedang pulang kerja.
Kami berpusing-pusing sekitar bandar untuk mencari hotel yang sesuai. Beberapa hotel agak menarik tetapi tidak mempunyai tempat letak kereta. Setelah tawaf 2-3 kali, akhirnya Hotel Kapuas Dharma terpilih kerana ia memberikan potongan harga yang menarik. Dari luar seperti hotel 4 bintang, ia mempunyai bangunan sendiri dan tempat letak keretanya di dalam pagar dan mempunyai jaga. Bayaran bagi semalam adalah Rp110,000. Ia tidak menyediakan cerek, tapi terdapat peti sejuk. Hotelnya seperti telah lama dan perlukan sentuhan renovasi.


Malam di Pontianak amat meriah dengan warung-warung makan dibuka sepanjang jalan. Makanan yang popular ketika itu apa lagi, ayam penyet. Lauknya boleh dipilih samada ayam, ley ley (ikan keli) atau bebek (itik). Sambalnya pedas banget. Kerana sukar untuk mengawal anak-anak ketika makan, kami membungkus sahaja ayam penyet dan nasik goreng untu dimakan di hotel. Harganya baru sahaja Rp27,000 (RM7.50) sahaja.

Stesen Pertamini

Memasuki Kota Pontianak

3.6.2009

Muzium Kalimantan Barat

Hari ini dipenuhi dengan bersiar-siar disekitar Bandar Pontianak sahaja. Tidak banyak tempat menarik yang diketahui walaupun telah membuat carian di internet kerana tidak banyak maklumat yang diperolehi. Kalau ada laman webnya pun, dalam bahasa indonesia yang pekat. Pagi-pagi lagi sebelum pengunjung lain sampai, kami telah tiba di Muzium Kalimantan Barat. Muziumnya agak menarik dan anda boleh mengambil gambar. Halaman belakangnya di didirikan model-model rumah dan tempat membakar tembikar. Sebuah lancing kuning yang digunakan Sultan Pontianak dipamirkan juga.
Istana Kadriah, Pontianak

Dari muzium tersebut kami melawat pula Keraton (Istana) Sultan Pontianak, Istana Kadriah terletak diseberang Bandar Pontianak. Mengikut sejarahnya, Pontianak diperintah oleh Kesultanan yang berasal dari Sultan Syed Abdurrahman Al Kadrie. Mereka sampai ke Pontianak pada tahun 1771. Mengikut ceritanya, Pontianak mendapat nama kerana ketika Syed Abdurrahman Al Kadrie mula sampai ke tempat tersebut, mereka diganggu dengan hebat oleh Pontianak. Bagi melawan gangguan tersebut, Sultan Syed Abdurrahman Al Kadrie telah menembak Pontianak tersebut dengan meriam. Baginda berniat akan membina penempatan di mana peluru meriam itu jatuh. Akhirnya mereka mendapati peluru meriam itu jatuh di sebuah tempat di persimpangan Sungai Landak dan Sungai Kapuas. Maka disitulah Sultan Syed Abdurrahman Al Kadrie membina Istananya. Nampaknya nama Meriam sukar hendak dipisahkan dengan Pontianak. Pemerintahan kesultanan telah berakhir pada tahun 1978. Selepas itu Pontianak diperintah oleh Gabenor. Sultan tidak lagi menduduki istana ini dan ia dibuka kepada lawatan. Anda perlu membuka kasut anda untuk memasuki Istana ini. Kasut anda akan dijaga oleh seseorang dan anda perlu memberikan sedikit uwang kepadanya. Begitu juga penjaga parking kereta. Setelah melawat istana tersebut, kami membeli makan tengahari dan di bawa balik ke hotel.
Petangnya, kira-kira jam 4 kami keluar semula untuk bersiar-siar di bandar. Kami menjejaki lorong kegemaran anak-anak aku kerana ia dipenuhi dengan berbagai jenis mainan. Agak tidak menarik perhatianku kerana tiada yang istimewa sangat. Mungkin kerana mutunya diragui. Beberapa van kebanyakkannya dari jenama Mitsubishi yang diubah suai menjadi bas mini sedang menunggu penumpang ke destinasi sekitar Pontianak.



Kota Pontianak

Penjual Koran dan Aksesori lain
Jumlah penduduk yang begitu padat dengan peluang pekerjaan yang terhad menyebabkan penduduk di sana kreatif mencari pendapatan. Tidak hairanlah ramai sanggup yang menjadi pendatang di Malaysia samada secara sah atau tidak demi sesuap nasi. Bagi yang tinggal, ada yang menjadi parking attendan tidak bertauliah. Di mana-mana saja kita meletakkan kenderaan pasti ada yang datang membantu. Mereka akan menunggu kita keluar kembali dan membantu kita keluar parking, tetapi dengan sedikit bayaran. Anggaplah ia sebagai sedekah buat mereka. Ada juga yang menjual koran (surat khabar), sticker kereta malah aksesori kereta di persimpangan lampu isyarat. Ada juga yang membuka bengkel mini di tepi-tepi jalan yang hanya menampal tiub tayar dan menjual petrol.

Setelah itu kami mengunjungi pula Ayani Hypermall yang terletak agak jauh dari pusat Bandar. Ia sebuah kompleks membeli belah 2 tingkat yang mempunyai sebuah hypermarket, kedai-kedai dan panggung wayang.


Malamnya hanya berehat di bilik setelah penat berjalan pada siangnya. Ketika membeli makanan di warung untuk dibungkus, sebuah motorsikal yang kebocoran tiub menggunakan perkhidmatan bengkel mini di tepi jalan disebelah warung makanan tersebut. Kagum sekali melihat pomen tersebut menukar tiub tayar motorsikal tanpa menanggalkan roda motorsikal dari sepit udangnya (fork depan). Beberapa pelanggan sibuk berbincang tentang isu hangat ketika itu iaitu peristiwa Tentera Laut Diraja Malaysia didakwa menceroboh perairan Indonesia di bahagian perairan Kalimantan sehingga 7 kilometer nautika dan dihambat oleh Tentera Laut Indonesia sehingga mereka melarikan diri. Beberapa orang mencadangkan agar berperang sahaja dengan Malaysia kerana mereka mempunyai kelengkapan yang mencukupi. Satu lagi isu hangat ketika itu ialah dakwaan Manohara didera oleh kerabat sultan Kelantan. Isu sekecil ini boleh menaikkan kemarahan mereka dan mereka emosional sekali.


Ayani Hypermall
Mungkin banyak lagi kerana kurang kesempatan untuk menjelajahi semuanya. Di hadapan hypermall teksi-teksi dari jenama Daihatsu yang mempunyai persamaan dengan Perodua Kancil model selepas 2003 sedang menanti penumpang. Berhati-hati ketika melalui palang pondok parking kerana ia terlalu pantas tutup kembali tanpa mengira samada kenderaan telah melepasinya atau tidak, sedangkan kenderaan di jalan utama sangat banyak terutama motorsikal. Dalam keadaan itu, parking attendan terpaksa memegang menggunakan tangan agar palang itu tidak tertutup kembali sehingga kereta melepasinya.


4.6.2009

Kami check out dari hotel lebih kurang jam 11.00 pagi. Sebelum berangkat meninggalkan Pontianak, kami sempat mengunjungi pusat perniagaan di Pasar Parit Besar. Banyak barangan di jual di sana. Antaranya baju, tudung, cd, cenderamata yang anih-anih dan lain-lain. Kami membeli vcd Doraemon yang telah dialih suara ke bahasa Indonesia untuk anak-anakku. Selepas itu kami singgah di sebuah pasaraya yang agak besar. Setelah membeli beberapa barangan, kami menjamu selera di restoran KFC. Rasa ayam gorengnya tidak sedap seperti ayam KFC di Malaysia. Nasi ayamnya pula menggunakan nasi putih biasa sahaja.

Setelah makan, kamipun mula bertolak dari Bandar Pontianak untuk kemabli ke Sambas. Kami sempat juga singgah di landmark terkenal Pontianak iaitu lokasi garisan Khatulistiwa. Sebuah tugu dibina di situ. Pengunjung boleh memasuki bangunan tugu tersebut dengan sedikit bayaran. Setelah singgah selama 15 minit, kamipun meneruskan perjalanan menuju ke Kota Singkawang. Sepanjang perjalanan anak-anak menonton cerita Doraemon bahasa Indonesia. Kami sampai di sana ketika hari telah mula petang. Kami berpusing-pusing mencari hotel yang sesuai dan murah. Hotel Mahkota terlalu mahal dengan bilik standardnya pada kadar Rp450,000 (RM161.90). Hotel Paseban pula menyediakan kadar termurah pada Rp. 124,000 (RM44.60), itupun di tingkat 3. Akhirnya kami bermalam di Hotel Khatulistiwa. Kami terpedaya dengan hotelnya yang mewah dan kemas tetapi kadar yang rendah. Rupa-rupanya bilik tersebut di blok belakang yang sempit. Tandasnya menggunakan kolah sahaja. Airnya berwarna kuning seperti air perigi. Sebuah surau di bahagian hujung blok tersebut mengingatkan kepada suasana di sekolah pondok.

Tugu Khatulistiwa


Hotel Khatulistiwa

Blok Belakang Hotel Khatulistiwa
Mencari restoran untuk makan malam di Bandar Singkawang agak sukar kerana tidak banyak restoran, tetapi warung mudah didapati ditepi jalan. Kebanyakkannya menghidangkan menu ayam penyet dengan pilihan lauk ayam, ley ley (ikan keli) ataupun bek bek. Pada mulanya aku ingatkan bek bek tu kambing, rupa-rupanya ia adalah itik setelah melihat gambar pada kain rentangnya.



5.6.2009

Pagi itu kami tidak tergesa gesa ‘check out’ kerana perjalanan ke Sambas tidaklah jauh lagi. Kami check out pada jam 10.00 pagi setelah bergambar sakan di lobby hotel dan bertolak ke Sambas. 2 jam setengah kemudian kami sampai ke Sambas. Anak-anak ku masih lagi menonton Doraemon sepanjang perjalanan. Belum lagi sampai ke Sambas, anak aku telah mampu meniru dialognya. “Ya ampunnnn”…. menyebabkan aku tergelak mendengarnya.

Di Sambas kami menetap lagi di Hotel Pantura kerana ia hotel paling baik dan mempunyai tempat letak kereta sendiri dan pengawal keselematannya sendiri. Sekurang-kurangnya dapat lah kami tidur tanpa merasa bimbang. Tetapi kali ini kami hanya mendapatkan bilik yang lebih murah dengan kadar Rp. 96,000 (RM35.50) sahaja.

6.6.2009

Kami bangun awal dan bersiap sedia untuk bertolak balik ke Malaysia seawal mungkin kerana perjalanan ke sempadan di Tebedu yang jauh dan kaunter imigresen pula tutup pada pukul 6 petang. Setelah melihat pembantu rumah telah sampai dari kampungnya barulah hati kami terasa lapang. Risau jugak beliau tak mahu kembali bekerja di Malaysia. Terpaksalah keluarkan RM2-3 ribu lagi untuk mendapatkan pembantu rumah Indonesia yang baharu. Tanpa berlengah kami terus bertolak jam 8.45 pagi. Jam 11.30 pagi kami berhenti mengisi minyak di Mempawah dan membeli makanan tengahari jam 12.00 tengahari di Sei Binyu. Kerana tidak mahu membuang masa, kami makan di dalam kereta dalam perjalanan sahaja dan telah menjimatkan masa 1 jam. Jam 2.45 kami telah sampai di Sosok dan berhenti sebentar di Pertamina untuk singgah ke tandas. Di situ, kami menemui semula Ford Ranger biru dari Malaysia yang kami temui semasa perjalanan ke Sambas pada hari kami memasuki Indonesia. Ia juga sedang dalam perjalanan balik ke Malaysia dari Pontianak. Tuannya seorang guru dari SK Batu Kawa, Kuching, juga berjalan-jalan bersama keluarga ke Pontianak dan Sambas sempena cuti sekolah.


Kami melepasi pusat kawalan sempadan jam 4.30 petang tanpa sebarang masalah dan prosuder seperti masuk hari itu. Cuma semua pas dan surat yang di bekalkan perlu dikembalikan. Kami meneruskan perjalanan balik ke kampong melalui jalan Kuching-Serian dan singgah di Siburan untuk membeli susu anak-anak kerana telah kehabisan. Kami menggunakan jalan Kampung Endap dan terus ke Kampung Meranek dan seterusnya ke Kampung Tanjong Apong pada jam 7.30 malam.

Sebuah perjalanan yang mencabar kesabaran, tetapi amat menyeronokkan. Jika anda ingin percutian yang mewah dan penuh keselesaan, disini bukan tempatnya. Tapi jika anda mencari cabaran dan suka berdikari, anda harus melalui tempat-tempat ini. Tidak ada pemandu pelancong yang memberi taklimat kepada anda, tidak ada makan buffet di restoran hotel, semuanya adalah self service. Tapi kita bebas menentukan program kita sendiri. Ia akan tambah menyeronokkan jika anda telah membuat homework sebelum pergi. Kami menyimpan hasrat untuk kembali lagi nanti setelah jalan melalui Biawak telah siap sepenuhnya.

Selamat Tinggal Indonesia!



Hanya di Indonesia
Van yang telah diubah suai menjadi bas mini

2011

Banyak yang aku pelajari bila memasuki lagi Indonesia untuk kali ke dua tahun 2011 ini. Ketibaan kami di Imigresen Indonesia disambut hangat oleh bapak-bapak yang menawarkan perkhidmatan mengisi Borang ketibaan dan berlepas. Lebih kurang 6 orang mengerumuni aku bagi membantu mengisi borang tersebut. Apabila ditanya berapakah upah perkhidmatan mereka, mereka cuma mengatakan 5 untuk satu borang. Aku terkejut kerana upahnya terlalu tinggi, RM5 untuk satu borang. Rombongan kami 7 orang semuanya, jadi aku perlu membayar sebanyak RM35! Rupa-rupanya aku terlupa aku kini telah berada di bumi Indonesia. Jadi 5 adalah bermaksud Rp5,000 iaitu RM1.75 sahaja. Begitu juga bila di kantor Polisi. Mereka meminta aku 20. Aku mulanya terkejut tapi aku hulurkan Rp20,000 dan mereka menerimanya. Tapi sebelum itu, kami tertipu dengan mamat yang menjual kartu ponsel (Sim Card telephone) dengan harga 10 sahaja. Kami terus membayar RM10. Mamat Indon tersebut mengambilnya dengan senang hati. Rupa-rupanya harga yang tertera pada kad itu hanyalah Rp8,000 ataupun RM2.70. Barulah kami terfikir, 10 tersebut bermaksud Rp10,000, tetapi kami telah membayar Rp29,900 (RM10.00). Patutlah mamat Indon tu tersenyum lebar.

Kali ini kami akan menghantar pembantu rumah kami  balik kampung lagi ke Sambas dan balik ke Malaysia.  2 minggu kemudian kami datang lagi ke Sambas untuk menjempunya balik. Oleh itu aku terpaksa membeli insuran kereta untuk sebulan berjumlah lebih kurang Rp240,000,000 sahaja.

Perjalanan menghantar berjalan seperti biasa. Jalan rayanya telah dibaiki sedikit. Tetapi terdapat lubang besar di Desa Sebuduh menyebabkan perjalanan kami terganggu. Ketika melepasi Mempawah, aku berhenti untuk mengisi petrol, tetapi tidak jadi kerana terpaksa berbaris panjang. Aku meneruskan lagi perjalanan dan bila sampai ke stesen minyak seterusnya, ia telah ditutup kerana kehabisan minyak. Begitu juga stesen minyak seterusnya, telah kehabisan minyak. Stesen seterusnya adalah hampir 20 km lagi sedangkan minyak hanya tinggal sedikit. Akhirnya kamisempat sampai ke stesen minyak tersebut dan bernasib baik dapat mengisi minyak di sana walaupun dengan jumlah terhad. Kami tiba di Sambas jam 7.30 malam waktu Malaysia ataupun 6.30 petang waktu tempatan. Walaupun baru 6.30 petang, keadaan di sana telahpun malam. Kami masih lagi menginap di Hotel Pantura Jaya kerana hotel itu adalah yang terbaik di Sambas. Oleh kerana kepenatan, kami makan makanan yang dibungkus dari restoran makanan Padang di seberang jalan hotel tersebut. Aku ingatkan nama restoran tersebut RM, rupa-rupanya RM adalah bermaksud Rumah Makan ataupun Restoran. Patutlah semua kedai makan ada tertulis RM.

Esoknya, setelah menghantar pembantu rumah tersebut ke jeti, kami pun bertolak balik menuju ke Pontianak. Kami perlu bermalam di Pontianak kerana jaraknya lebih dekat dengan sempadan di Tebedu. Sekiranya kami bertolak dari Sambas terus ke Tebedu, dikhuatiri kami tak sempat sampai sebelum jam 6.00 petang kerana kaunter Imigresen tutp pada pukul 6 petang. Kami cuba untuk mendapatkan hotel yang lebih baik dari Kapuas Dharma tapi tidak dapat kerana semua hotel-hotel ternama telah ditempah sepenuhnya untuk satu majlis kerajaan di Pontianak yang akan di hadiri oleh Bambang Susilo Yudhiyono sendiri. Akhirnya, kami terpaksa juga menginap di Hotel Kapuas Dharma semula. Esoknya kami masih belum mahu pulang dan masih mahu bersiar-siar di Kota Pontianak. Tiada tempat lain yang perlu dikunjungi, cuma Ayani Mega Mall. Ketika itu, ekspo sedang diadakan di sana menyebabkan keadaan agak sesak. Kami tertarik dengan adat perjalanan majlis rasmi kerajaan di sana. Mungkin kerana tidak cukup masa untuk memberi peluang kepada semua tetamu kenamaan memberikan ucapan, pengacara majlis akan menjemput mereka ke atas pentas mengucapkan salam sahaja kepada hadirin.

Esoknya, pagi-pagi lagi kami bertolak balik ke Tebedu. Kami perlu balik ke Malaysia kerana aku perlu masuk ke pejabat. 

Kami kembali ke Indonesia lagi seminggu kemudian untuk menjemput kembali pembantu rumah kami. Tetapi proses di sempadan telah mudah kerana kami hanya perlu mendapatkan pelepasan Imigresen sahaja manakala permit kenderaan kami masih lagi 'berlaku' (sah).

2012

Tahun 2012 pembantu rumah kami melahirkan hasrat untuk balik kampung lagi. Mentang-mentang lah dah dekat dengan Pontianak dan Sambas, nak balik tiap tahun lah pulak. Pada mulanya kami ingat nak hantar beliau ke sempadan sahaja, tetapi memandangkan beliau akan membawa banyak barang-barang balik bersama, kami hantar juga beliau sampai ke Sambas. Tapi beliau harus balik sendiri menaiki bas manakala kami hanya menunggu di sempadan di Tebedu sahaja.

Pengalaman balik kali ini agak mencabar kerana kami melalui jalan baru dari Pontianak ke Sosok. Jalan baru tersebut memendekkan masa dari 7 jam kepada 4 1/2 jam sahaja. Tetapi kami harus melalui jalan yang amat teruk sekali sehingga menyebabkan kebocoran pada minyak auto transmission kereta kami. Aku hanya menyedari kebocoran ketika berhenti di sempadan Tebedu. Setelah memeriksa, paras minyak gear automatik tersebut berada di paras minimum manakala minyaknya terus menitik keluar.

Setelah mendapatkan nasihat daripada pomen yang ku kenali, kami meneruskan perjalanan sejauh 100 km lagi dengan penuh hati-hati. Akhirnya kami selamat sampai di rumah jam 6.30 petang. 

Update terbaru, kali ini tidak ada lagi orang yang mengambil upah mengisi Borang Ketibaan dan Berlepas. Jelas notis dipamerkan melarang mengambil upah untuk mengisi borang. Alhamdulillah. Anda tak perlu lagi mencari seribu alasan untuk menolak tawaran puak tersebut kerana mereka sangat-sangat mendesak anda untuk menggunakan perkhidmatan mereka.
Nanti-nantilah aku uploadkan gambar2 yang menarik. To be continued.
Sebuah kampung dilalui semasa dalam perjalanan. Jalan teruk di kampung ni.