Mengharung Musim Tengkujuh

Musim Tengkujuh bukan hanya memberi masalah kepada pelaut, malah orang-orang di daratan bila hujannya yang mencurah-curah menenggelamkan jalan, mematikan keseronokan menerokai tempat-tempat menarik dan lain-lain. Tetapi semuanya perlu di terima dengan penuh redha.

Telah lama perjalanan ke Kelantan, Terengganu dan Pahang ini dirancang, bukan mudah dapat mengumpulkan beberapa keluarga dalam satu masa kerana masing-masing ada komitmen tersendiri. Namun akhirnya ia dapat di materialisasikan juga. Pada 26.11.2008 jam 4.30 pagi kami telah memulakan perjalanan dari Kpg Parit Lapis, Parit Jawa, Muar, Johor. 11 orang disumbat ke dalam sebuah Unser yang ku sewa. Destinasi yang dituju adalah Bentong, Pahang sebelum menuju ke destinasi sebenar, Kota Bharu.

Unser yang penuh sesak membelah kedinginan pagi tanpa menyedari hanya aku satu-satunya lelaki di dalam kenderaan tersebut. Harap-harap tiada apa yang berlaku disepanjang perjalanan. Kami melalui lebuh AMJ melalui Melaka, Alor Gajah, Simpang Empat dan Tampin. Aku sengaja menggunakan jalan Tampin, Bahau Termeloh kerana ingin mencuba jalan yang baru dan tidak menggunakan lebuhraya PLUS melalui KL.

Rumah Angah di Bentong, Pahang
Kami singgah bersolat Subuh di sebuah masjid dalam daerah Tampin. Perjalanan ke Karak melalui Bahau terpaksa menempuh perjalanan yang berliku-liku dan selekoh tajam. Beberapa orang mengadu pening kepala kerana jalan yang begitu teruk. Dalam hati terasa menyesal jugak lalu jalan tu. Tapi kata orang, tak rasa, tak tau. Setelah melalui jalan yang penuh selekoh tersebut lebih kurang 40 km, akhirnya kami sampai ke Karak. Kami membelok ke kiri di jalan Karak-Kuantan menuju ke KL semula untuk sampai ke Bentong. Lebih kurang pukul 9.30 pagi kami pun sampai ke rumah Angah, ipar aku di Bentong kerana mereka akan menyertai perjalanan kami juga. Kami sepatutnya disertai abang Zali dan keluarga, tetapi ketika itu, abg zali masih berada di Johor Bharu kerana tugas. Dia cuma akan balik ke KL tengahari tersebut. Tetapi mereka tersangat teringin menyertai perjalanan kami ini. Mungkin mereka akan bertolak terus dari KL dan menyertai kami di KB nanti.

Kami bertolak dari Bentong jam 10.30 pagi dengan disertai Angah dan keluarganya. Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah Masjid di Kuala Lipis untuk ke tandas. Sebelum sampai ke Gua Musang, ketika melalui sebuah bukit, sebuah treller tersadai di tepi jalan. Sebahagian treller menghalang jalan amat berbahaya sekali, apatah lagi pada kedudukan ketika menurun bukit. Kami singgah di hentian rehat dan rawat di Gua Musang untuk berehat dan bersolat. Setelah berehat 40 minit, kami meneruskan perjalanan lagi.

Treller rosak di tepi jalan


Rumah Rehat Seri Purnama
Akhirnya jam 5.30 petang kami sampai juga ke Kota Bharu. Sepupu angah telah menunggu di tepi jalan menyambut kami untuk membawa kami ke rumah sewa. Rumah tumpangan ini kami perolehi dari carian di internet. Sebuah rumah milik seorang doctor terletak berhampiran Wakaf Che’ Yeh. Seorang pakcik wakil tuan rumah membukakan pintu untuk kami. Setelah memasuki rumah tersebut, kami dapati bumbungnya bocor, dan setelah dipersetujui, kami berpindah ke rumah tumpangan di sebelah ke punyaan pakcik tu sendiri yang dinamakan Rumah Rehat Seri Purnama di Batu 3, Wakaf Che’ Yeh. Rumahnya ada 3 bilik dan 2 tandas. Satu ruang dapur, ruang rehat dan ruang tamu. Cukup luas untuk kami. Sewanya pula RM200 semalam. Dengan kelengkapan dapur yang ada boleh menjimatkan belanja dapur kami. Kebiasaannya, isteri aku akan mengutip duit dari semua orang sebelum perjalanan. Dia akan menganggarkan kos makan satu kepala untuk bilangan hari dan juga sewa tempat tinggal. Setelah menjelaskan semuanya, mereka tak perlu risau lagi tentang makanan walaupun berhenti makan di restoran. Segalanya telah diuruskan. Ketika itu, kami mendapat tahu, abang zali telah bertolak dari KL ke KB untuk menyertai kami walaupun beliau baru tiba dari JB petang tersebut.

Malamnya, sepupu angah membelanja kami makan di sebuah restoran. Selesai makan, kami balik ke rumah rehat. Setelah semua kanak-kanak tidur, kami mula merayap ke pasar malam Wakaf Che’ Yeh yang terletak cuma di seberang jalan. Kami berjalan kaki sahaja ke sana. Banyak tudung fesyen terbaru dengan harga yang murah boleh didapati. Selain itu, pakaian-pakaian lain juga boleh didapati seperti batik sutera, T-Shirt barangan kulit, ubat-ubatan dan lain-lain. Pasar malam ini dibuka sehingga jam 2.00 pagi, dan selepas itu diganti oleh gerai menjual buah-buahan.

Pasar malam Wakaf Che' Yeh


Jam 12.00 tengah malam, abang zali dan keluarganya selamat sampai memeriahkan lagi perjalanan kami.

Esoknya, 27.11.2008 aku bangun awal pagi untuk membeli sarapan untuk semua orang bersama isteriku. Kami singgah di sebuah gerai restoran untuk membeli nasi bungkus untuk sarapan dengan harga yang sangat murah.

Destinasi kami pagi tersebut ialah Rantau Panjang. Walaupun tidak mengetahui selok belok di sana, kami redah juga. Ini adalah kali ke 3 aku aku ke sana. Kali pertama ketika aku masih belajar pada tahun 1993, kali kedua, ketika aku berbulan madu di Kelantan tahun 2001 dan ini adalah kali ke 3. Semuanya telah berubah dan aku hanya bergantung kepada peta yang kami bawa.
Rantau Panjang

Akhirnya kami sampai juga ke Rantau Panjang ketika hujan sedang turun mencurah-curah. Rantau Panjang adalah syurga kepada peminat barang-barang Thailand yang murah dan menyerupai barangan asli. Aku Cuma membeli sehelai T-Shirt sebagai kenangan. Ada yang membeli selimut Toto dan lain-lain.
Rantau Panjang Commercial Centre

Dalam perjalanan balik, kami singgah makan tengahari di restoran yang menyediakan daging itik. Walaupun tidak menggemarinya, aku habiskan juga 2 ketul. Setelah makan, kami balik berehat dan selepas Asar, kami mula memasuki pusat Bandar KB untuk ke Pasar Siti Khadijah.


Pasar Siti Khadijah

Kedai-kedai Siti Khadijah

Pasar Siti Khadijah mempunyai beberapa tingkat. Tingkat bawahnya menjual barang-barang pertanian yang dimonopoli oleh kaum wanita. Tingkat-tingkat atasnya menjual baju sutera, tudung dan lain-lain pakaian. Ketika masuk waktu Asar, azan dikumandangkan di corong pembesar dan peniaga mula meninggalkan kedai masing-masing dan bersembahyang jemaah di musolla di dalam bangunan tersebut. Ada juga yang sembahyang dipremis masing-masing saja. Suatu pemandangan yang tak ditemui ditempat lain. Hujan masih lagi turun membasahi bumi walaupun hanya renyai-renyai. Dari pasar Siti Khadijah, kami mengunjungi pula Pantai Cahaya Bulan. Ombak yang besar menunjukkan musim tengkujuh sedang melanda.

Malamnya, kami dijemput makan malam di rumah sepupu angah pula. Terima kasih atas hidangan ayam percik yang sedap tu. Setelah balik ke rumah rehat, kami menyerang lagi pasar malam Wakaf Che’ Yeh. Di sana, Azilan Abdul Rahman, kawan baik dari sekolah hingga ke universiti telah menunggu. Telah 10 tahun kami tak bertemu. Bermacam cerita tentang kawan-kawan yang telah berjaya dikisahkan. Azilan sendiri seorang pengamal undang-undang. Hasrat ingin bertemu Mohd Amin Daud, rakan ketika di universiti dan rakan serumah sewa ketika chambering di KL tidak kesampaian kerana rumahnya di Bachok jauh dari KB. Kedua-dua mereka juga kawan baik isteri aku. Di pasar malam tersebut, aku sempat sambar batik sutera lengan panjang dengan harga RM99.00 sahaja. Ada juga yang lebih murah dengan harga RM89.00 tetapi kainnya kurang sedap.

Tok Bali, sempadan Kelantan Terengganu
28.11.2008, kami check out dari rumah rehat jam 8.30 pagi. Kami tidak menggunakan jalan biasa ke Kuala Terengganu, sebaliknya menggunakan jalan pantai yang melalui Bachok dan Kuala Besut. Hujan di sepanjang perjalanan sehingga ke Kuala Terengganu. Kami singgah di Kampung Pantai Merang di Setiu membeli sedikit keropok. Kami sampai dan ingin singgah ke Taman Tamadun Islam, tetapi kami tersalah pergi ke kampong Pulau Duyung. Akhirnya kami sampai juga ke Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man dan makan tengahari di sana. Kami sempat mengunjungi Masjid Kristal yang amat cantik sekali. Tapi sayangnya, masjid yang berjuta-juta masih lagi bocor bumbungnya dan terpaksa di tadah dengan baldi yang mencacatkan pendangan.
Berehat di Pantai Merang, Setiu

Setelah menjelajahi Taman Tamadun Islam, kami menuju pula ke Apartment yang akan menjadi tempat penginapan kami. Apartment 3 bilik ini amat selesa sekali. Mempunyai rumah kelab, kolam renang dan padang golf.

Setelah check in, kami keluar semula untuk merewang di Bandar KT. Kali terakhir aku ke KT pada tahun 1992 dan semuanya amat berbeza sekali. Tiada apa yang masih aku ingat. Cuma masjid Zainal Abidin yang masih seperti dulu. Kami singgah di Pasar Payang melihat sutera-sutera murah dan menarik. Di laut, kontigen piala monsoon Malaysia sedang berlatih. Setelah membeli beberapa pasang batik sutera, kami balik ke apartment semula.

masjid bocor


Selepas maghrib, kami keluar semula untuk makan malam di Restoran Seafood di Pantai Batu Buruk. Malam tersebut, kami mendengar berita Rantau Panjang ditenggelami air dan pasarnya seluruh pekannya di tutup. Kami bernasib baik kerana sempat mengunjunginya sehari sebelum itu. Aku cuba menghubungi Fakhrul Anuar Talib aka Pakoi, seorang kawan lama tapi panggilan tidak kesampaian. Mungkin telah bertukar nombor telefon.

Pagi 29.11.2008, sebelum check out, kami ingin sekali mandi di swimming pool tetapi terpaksan di batalkan kerana hujan lebat. Jalan-jalan sudah mula ditenggelami banjir. Kami terus check out dan menuju ke Muzium Terengganu, muzium terbesar di Asia. Dalam perjalanan kami sempat singgah di Keropok Lekor 007 mendapatkan keropok lekor untuk di bawa balik.
Kedai kepok lekor 007

Kami sampai ke Muzium Terengganu ketika hujan lebat. Kami tidak dapat memasuki muzium kerana pintu masukknya tidak mempunyai bumbung atau koridor. Akhirnya kami balik dengan hampa dan meneruskan perjalanan ke Kuantan sahaja. Kami berhenti makan tengahari di sebuah restoran di tepi jalan. Dalam perjalanan ke Kuantan, kami terpaksa menempuh jalan yang ditenggelami banjir di Daerah Dungun. Nasib kami baik kerana masih boleh melaluinya. Beberapa jam selepas itu, kami mendengar berita di radio kereta jalan tersebut telah ditutup ½ jam selepas kami melaluinya kerana banjir. Fuhhh…


Gerai Lemang

Melantak Satah
 Cuaca baik sekali ketika kami memasuki negeri Pahang. Kami singgah solat di masjid sebuah kampong di sempadan Terengganu-Pahang. Ramai juga orang lain berhenti sembahyang di situ. Kami sempat juga singgah di deretan gerai lemang kegemaran angah menjamah dan membeli lemang untuk di bawa balik. Setelah berhenti singgah di gerai lemang, kami juga singgah di warung menjual satah. Setelah melantak satah beberapa cucuk seorang, kami meneruskan lagi perjalanan. Persinggahan yang banyak menyebabkan perjalanan yang sepatutnya 2 jam lebih menjadi 4 jam, tapi menyeronokkan kerana perjalanan yang bersantai.

Azrin di Teluk Cempedak
Kami sempat juga singgah ke pantai Cherating walaupun tidak keluar dari kereta. Tetapi kami tewas juga kepada desakan bertalu-talu dari kanak-kanak untuk turun ke pantai. Tetapi kami singgah di pantai Teluk Cempedak dan berhenti di sana hingga masuk maghrib. Setelah solat magrhrib, kami meneruskan perjalanan tetapi sedikit tawar menawar berlaku bila angah mempelawa bermalam di rumahnya di Bandar Muadzam, Pahang. Sepatutnya hari itu kami terus balik ke tempat masing-masing. Akhirnya kami bersetuju untuk melanjutkan perjalanan dan singgah semalam lagi.

Makan Malam di Tg Lumpur
Sebelum balik ke Bandar Muadzam, bakal tuan rumah, angah membelanja kami makan makanan seafood di Tanjong Lumpur, Kuantan. Makanan yang sesedap rasa menepati citarasa kami. Setelah memenuhi tembolok, kami meneruskan perjalanan ke Bandar Muadzam lebih kurang 1 jam lebih perjalanan dari Kuantan.

Pilihan Makananan Laut
Malam tersebut kami semua bermalam di rumah angah dan esoknya masing-masing membawa haluan masing-masing. Abang Zali balik ke KL, kami balik ke Muar dan Angah terus tinggal di situ.

Perjalanan yang amat menyeronokkan walaupun terpaksa menempuh hujan. Apa boleh buat, hanya itu masa yang kami ada. Bagi anda yang ingin ke Kelantan Terengganu, kalau boleh elakkan semasa hujung tahun kerana musim hujan.


Bank Pitih di KB

Rumah Rehat dekat je dengan Wakaf Che' Yeh

Rombongan Hajah Aishah