Thursday, September 4, 2014

Medan, Indonesia

Assalamualaikum...

Ini adalah kisah sepanjang perjalanan ke Medan dan seterusnya ke Danau Toba yang ingin dikongsikan untuk panduan bagi sesiapa yang ingin ke sana.

Sebelum bercuti, aku menyelongkar di internet tentang Medan dan Danau Toba. Kebanyakkan blog-blog yang ku baca menceritakan percutian dengan bantuan agensi pelancongan. Jika pergi berkumpulan atau dengan keluarga yang ada anak kecil di bawah 5 tahun, sebaiknya menggunakan khidmat agensi pelancongan. Tapi aku ingin meneroka sendiri dengan konsep 'walk in'. Cuma tiket kapal terbang sahaja yang aku beli seawal Jun 2012 sedangkan percutian aku akhir bulan November 2012. Tiket kapal terbang Air Asia dari KL ke Medan hanyalah RM78.00 sehala termasuk airport tax dan fuel surcharge.

Aku dan isteri bertolak dari LCCT pada 24.11.2012 dengan penerbangan jam 2.00 petang. Aku bertolak  dari Kuching jam 9.30 pagi tersebut. Perjalanan kapal terbang ke Medan hanya mengambil masa 50 minit sahaja. Kami mendarat  di lapangan terbang atau Bandara (Bandar Udara) Polonia, Medan jam 3 petang, tetapi jam 2 petang waktu Indonesia.

Ketibaan kami di pintu balai ketibaan disambut meriah oleh supir-supir teksi. Seorang supir mendekati kami dan menawarkan perkhidmatan teksinya. Aku tidak mahu terus menerima tawaran beliau kerana ingin melihat-lihat sekitar lapangan terbang, mungkin ada perhentian bas ke bandar. Ternyata tiada. Akhirnya kami ke kaunter tiket teksi sambil diiringi supir tadi. Kami terkedu seketika bila ditanya hendak ke mana kerana tidak ada hotel yang telah di tempah. Pegawai kaunter lantas bertanyakan berapakah budget untuk hotel yang diingini. Aku memberitahu antara Rp100-150 ribu sahaja. Pegawai kaunter itu terus mencadangkan Hotel Melati. Setelah kami bersetuju, dia pun mengeluarkan kupon teksi sebanyak Rp50 ribu tetapi bayarannya dibuat kepada supir, bukannya kaunter tadi.

Kami dibawa menaiki teksi berjenama Daewoo menuju ke pusat bandar Medan. Jalannya amat sesak dan sempit. Terlalu banyak motorsikal dan kebanyakkannya tidak mematuhi peraturan jalan raya. Ketika di dalam teksi supir tadi memberitahu Hotel Melati itu tidak bagus. Beliau mencadangkan Hotel Ibunda yang lebih baik. Kami bersetuju kerana pernah melihat hotel tersebut di laman web. Memang agak ok. Tetapi kadarnya lebih mahal iaitu Rp225 ribu semalam. Lagipun di sana terdapat banyak gerai makanan katanya.

Kami sampai di Hotel Ibunda 30 minit kemudian. Aku membayarkan kepada supir tadi tetapi beliau meminta lebih kerana terpaksa membuat 'U' turn untuk ke Hotel tersebut. Setelah menerima Rp5 ribu dari aku, beliau mendekati Check In Counter hotel dan menuntut komisennya dari hotel pula.

Setelah check in kami meletakkan beg di bilik. Hajat hendak mandi dahulu tak kesampaian kerana tuala belum lagi dihantar oleh pihak hotel. Kami terus keluar kerana tidak sabar hendak berjalan di bandar Medan sedangkan tidak ada tempat tertentu di minda kami untuk dikunjungi. Di hadapan hotel kami meneliti peta yang aku cetak dari laman web. Dan kami mengikut ke mana kaki hendak melangkah. Kami menghala arah yang bertentangan dengan lapangan terbang kerana beranggapan arah tersebut tentulah menuju ke pusat bandar. Terdapat banyak ucapan selamat pengantin baru diletakkan di tepi jalan yang dibuat dari bunga-bungaan.


Akhirnya kami sampai ke Kesawan Square. Tidak ada apa yang menarik di sana, cuma sebuah pintu gerbang menyambut kedatangan. Kami bayangkan setelah melalui pintu gerbang tersebut sebuah up town seperti Petaling Street, tapi tiada apa di sana. Kami membelok ke kanan di suatu lorong dan barulah kami lihat kedai-kedai kain, telekung, tudung dan lain-lain. Semakin jauh kami melangkah, semakin banyaklah kedai-kedai tersebut. Rupa-rupanya kami telah sampai ke kawasan Pasar Ikan Lama di jalan Perniagaan yang terkenal dengan kedai-kedai menjual tudung, baju, telekung, kain pelikat dan lain-lain. Kami memasuki lorong-lorong yang dipenuhi oleh kedai-kedai tersebut. Seperti biasa kami diikuti oleh beberapa penjual t-shirt, key chain dan cenderahati lain tetapi tidak kami layan kerana belum ingin hendak membeli belah. Sebelum memasuki lorong ini tadi kami melalui Hotel Kesawan. Kami dapati bayaran biliknya agak murah memandangkan kedudukannya di tengah bandar. Kami menempah satu bilik untuk hari sekembalinya dari Danau Toba nanti.

Setelah puas mencuci mata, kami kembali ke hotel Ibunda. Setelah mandi kami tertidur sehingga jam 11 malam kerana kepenatan. Kerana telah lewat kami tidak keluar makan malam dan meneruskan tidur setelah sembahyang Isyak.

Esoknya, kami check out setelah sarapan pagi. Sarapan pagi hanya disediakan jam 7.00 pagi atau 8.00 pagi waktu Malaysia. Hanya ada Nasi Goreng dan Lontong disajikan bersama kopi 'O'.

Setelah check out kami memulakan perjalanan ke Danau Toba. Kijang yang sedang menunggu di tepi hotel menawarkan Rp500,000 untuk sewa perjalanan ke sana. Kami mencari beca untuk menghantar kami ke stesen bas. Sebuah beca bersetuju untuk menghantar kami ke stesen bas di Amplas dengan bayaran Rp30,000.
Becak

Walaubagaimana pun beca tersebut singgah di stesen bas CV Karya Agung yang hanya 3 minit dari hotel tadi. Terdapat sebuah bas mini CV Karya Agung yang akan ke Danau Toba dalam masa 20 minit. Kami pun bersetuju menaiki bas tanpa penghawa dingin tersebut dan membeli tiket ke Danau Toba dengan harga Rp60,000 untuk 2 orang. Seperti biasa supir beca tersebut akan menuntut komisennya dari syarikat bas tersebut dan cuba meminta juga dari aku. Aku enggan memandangkan beliau hanya menghantar ke stesen bas yang dekat sahaja bukannya ke Stesen Amplas.
Bas Yang Membawa Kami Ke Danau Toba - Tanpa Aircond


Jam 9.20 kami bertolak dari stesen tersebut dengan 3 orang penumpang sahaja di dalam bas tersebut. Kami singgah di depo syarikat bas CV Karya Agung dan bertukar pemandu. Kami kemudiannya singgah di Stesen Amplas. Ianya sebuah stesen bas yang besar tetapi basnya tidak banyak. Pemandu bas perlu membayar TOL untuk singgah di stesen tersebut. Terdapat bas ekspress kelihatannya berhawa dingin yang akan ke Danau Toba juga. Tiada penumpang yang naik di stesen bas tersebut.

Kami kemudiannya meneruskan perjalanan. Pemandu tersebut berhenti di setiap perhentian bas yang dilalui. Amat menarik perhatian bila pada setiap perhentian bas terdapat seseorang yang akan mengambil upah dari penumpang untuk menahan bas. Beliau yang boleh dikatakan ulat akan berunding dengan pemandu bas tersebut bagi tambang bas. Beliau akan mengutip bayaran dari penumpang yang hendak naik dan membayar kepada pemandu bas setelah mengambil keuntungannya. Menarik dan tidak pernah terfikir pekerjaan seperti ini. Tiket bas pun boleh dirunding. Beliau bertindak seperti agen syarikat bas dan mencari penumpang. Apabila ada penumpang bersetuju, beliau akan menetapkan harga dan penumpang tersebut membayar tambang bas kepadanya. Apabila bas tiba, penumpang menaiki bas manakala beliau membayar tambang bas sebenar kepada pemandu. Kadangkala mereka dapat keuntungan lebih jika dapat menawar lebih tambang bas.

Bas meneruskan lagi perjalanan melalui kampung-kampung dan penempatan-penempatan yang agak padat. Kami singgah berehat setelah 2 jam perjalanan di Sei Rampah. Pemerhatian aku semua lelaki di dalam bas tersebut menghisap rokok. Malah pemandunya sentiasa merokok bersambung puntung. Nasib baik tingkapnya boleh dibuka. Penumpang semakin ramai. Kami melalui pula Serdang. Terdapat replika istana Serdang boleh dilihat dari dalam bas. Jam 11.40 kami telah sampai ke Tebing Tinggi. Rumah-rumah semakin kurang selepas Tebing Tinggi. Kami melalui ladang getah yang besar milik Silverstone di sepanjang perjalanan. Patut lah harga tayar Silverstone tidak terlalu mahal.

Jam 12.40 kami telah sampai di Permatang Siantar. Agak lama kami berhenti di sana menunggu penumpang. Beberapa penjual makanan seperti roti ban menjunjung kotak di kepala merapati setiap bas yang berhenti.

Penjual Roti Di Permatang Siantar

Setelah meneruskan perjalanan, bas kami berhenti pula di hentian rehat bas CV Karya Agung untuk makan tengahari. Terdapat surau di sana. Tetapi aku tidak keluar makan kerana ragu dengan kehalalan makanan di situ kerana ketiadaan tanda halal atau pun ayat-ayat al-quran. Di tambah pula kelihatan majoriti penduduk Permatang Siantar adalah Kristian dan terdapat banyak Gereja di sana. Agak jarang wanita bertudung kelihatan. Setelah sejam berhenti, kami meneruskan perjalanan semula. Kali ini perjalanan mula mendaki gunung. Jalannya bengkang bengkok dengan selekoh tajam seperti jalan menuju ke Cameron Highland melalui Tapah. Dipertengahan jalan mendaki, hujan turun dengan lebat. Agak malang kerana atap bas telah bocor dan air hujan menitik ke atas aku. Kami kepanasan kerana terpaksa menutup tingkap. Akhirnya hujan berhenti dan cuaca sangat cantik ketika kami melalui pinggiran Danau Toba. Kelihatan Danau Toba yang indah dengan airnya yang biru. Beberapa ekor monyet duduk di tepi jalan memerhati kenderaan yang lalu lalang. Terdapat banyak gerai makan di tepi jalan di pinggir tebing Danau Toba. Sangat indah pemandangan ketika itu.

10 minit kami menyusuri tebingan Danau Toba, kami tiba di pekan Parapat. Sebuah pintu gerbang memberitahu anda telah sampai di sana. Seharusnya anda perlu turun di sini jika ingin ke Danau Toba. Tetapi aku tidak turun disitu kerana beranggapan Parapat adalah perhentian terakhir bas tersebut, rupanya tidak. Di Parapat satu majlis kematian sedang dilangsungkan oleh orang Batak.

Setelah jauh melepasi Parapat, aku kesangsian kerana tidak ada lagi pekan selepas itu. Lantas aku bertanyakan kepada penumpang lain, jika ingin ke Pulau Samosir di Danau Toba, di mana harus turun. Kami diberitahu kami sepatutnya turun di Parapat tadi. Kami terus turun dari bas tersebut dan menanti bas lain untuk kembali ke Parapat.
Feri Ke Pulau Samosir

Setelah tiba kembali ke Parapat, dari tepi jalan utama, kami menaiki angkutan kota berwarna biru yang sebenarnya van biasa tetapi kerusinya digantikan dengan kerusi kayu untuk ke pengkalan feri yang terletak lebih kurang 1 km dari jalan utama dengan tambang Rp2,000 seorang kerana kami ingin tinggal di pulau Samosir, sebuah pulau yang besar di tengah-tengah Danau Toba. Kami mengetahui tentang resort ini melalui internet. Anda juga boleh memilih untuk bermalam di Parapat sahaja kerana di sana juga banyak terdapat hotel. Tetapi pengalamannya tidaklah sebaik bermalam di pulau Samosir.

Setibanya kami di pengkalan feri, kami disambut meriah oleh ulat-ulat tiket feri. Kami dipesan oleh pemandu angkutan kota tadi agar terus sahaja menaiki feri di sebelah kanan dan jangan pedulikan ulat-ulat tiket tersebut. Walaubagaimanapun kami di arah oleh ulat-ulat tersebut untuk membeli tiket feri di kaunter. Kami pun membeli tiket di kaunter tersebut dengan harga Rp10,000 seorang.

Kami kemudiannya ditegur oleh seseorang yang bertindak sebagai agen hotel-hotel di Pulau Samosir. Mengetahui kami ingin ke Samosir Cottage tetapi belum menempahnya, beliau mula mengeluarkan
katalog hotel dan memberitahu beliau adalah agent Samosir Cottage. Beliau kemudiannya menelefon hotel tersebut dan bertanyakan bilik. Beliau memberitahu hanya tinggal 2 bilik sahaja dengan bayaran Rp270,000 semalam. Kami menawarkan lagi harga Rp250,000 seperti yang dinyatakan dalam internet. Beliau bersetuju dan mengesahkan tempahan bilik tersebut. Kami dengan berat hati membayar harga tersebut setelah di minta walaupun kami ingin membayarnya di kaunter hotel sahaja. Kami diberikan resit untuk ditunjukkan di kaunter check in hotel nanti.

Setelah selesai, kami pun menaiki feri dalam hujan yang mulai turun. Kami duduk di tingkat atas feri 2 tingkat tersebut untuk menikmati pemandangan. Danau Toba sebenarnya adalah kawah gunung berapi super yang telah meletus 73,000-75,000 tahun dahulu. Ianya berukuran 30 km lebar dan 100 km panjang. Kedalaman tasik pula adalah 505 meter menjadikan ia tasik terdalam di dunia. Pulau Samosir pula terjadi kerana di tolak oleh magma gunung berapi yang tidak dapat meletus. Saintis meramalkan penduduk bumi berkurangan 60% selepas letusan gunung berapi tersebut. Ramalan mengatakan terjadi zaman ais setelah letusan tersebut bagaimanapun diragui kesahihannya.

Samosir Cottage terletak di Tuktuk di pulau Samosir. Tuktuk adalah tanjung yang bulat di satu bahagian pulau tersebut. Feri tersebut menurunkan penumpang di perkampungan dahulu barulah menghantar penumpang-penumpang lain ke resort-resort yang banyak terdapat di sepanjang tebing tasik di Tuktuk tersebut. Sememangnya banyak terdapat resort di sana sehingga tidak ada pantai kosong di Tuktuk. Semuanya telah didirikan dengan resort. Anda tak perlu risau jika resort-resort tersebut penuh.
Bilik di Samosir Cottage

Di atas feri kami dihiburkan oleh seorang anak Batak berusia dalam 10 tahun bernama Christopher meminta izin untuk menyanyikan lagu Pulau Samosir. Beliau menyanyikan sambil bertepuk tangan. Aku berikan dia Rp5,000 dan sebuku roti Gardenier coklat. Beliau mulai menceritakan kisahnya yang ketiadaan bapa perlu membayar Rp40,000 sebulan untuk yuran persekolahan. Ketika itu yurannya telah 3 bulan tertunggak dan mengharapkan kami membantunya. Aku tidak lagi melayannya kerana sangsi dengan ceritanya.
Christopher menyampaikan lagu dalam bahasa Batak

Feri akhirnya menurunkan kami di hadapan Samosir Cottage. Kami memilih bilik yang menghadap tasik, tapi tanpa tv.

Setelah mandi, kami tidak sabar untuk mencari makan kerana kami tidak makan tengahari di perjalanan tadi. Kami keluar ke belakang resort tersebut dan terdapat banyak rumah yang menjalankan perniagaan untuk pelancong seperti kedai cenderahati, kedai makan, kedai menyewa basikal dan motorsikal, agen pelancongan dan lain-lain. Berhati-hati mencari kedai makan kerana majoriti penduduk Pulau Samosir adalah berketurunan Batak dan beragama Kristian. Kebanyakkan kedai makannya dimiliki orang Kristian. Kami berjalan lagi dan akhirnya bertemu sebuah kedai makan Rumah Makan Muslim Mami Tempo. Kedai tersebut menggantung ayat-ayat al Quran tetapi pemiliknya seorang perempuan berseluar pendek sahaja sedang menonton tv. Kami memesan Ayam Penyet dan kopi susu dengan bayaran Rp70,000.
Pandangan Danau Toba dari Bilik

Selepas makan tiada tempat hendak kami kunjungi kerana hari sudah malam. Terdapat sebuah kedai makan berkaraoke tapi kami tidak berminat. Kami kembali ke resort dan lepak di Coffee House. Melihat menu yang diberi, kami dapati makanannya agak murah bagi sebuah resort terutama seafood seperti lobster. Rasa ingin mencuba makanan tersebut di halang oleh status kehalalan makanan di situ. Akhirnya kami hanya melayan internet menggunakan wifi percuma resort dan menyaksikan perlawanan bola sepak piala Suzuki Malaysia lawan Singapura sambil minum kopi susu. Kopinya sedap tetapi menggunakan air yang tidak cukup panas menyebabkan kopinya tidak larut.

Apabila bateri henfon hampir habis barulah kami balik sambil ke bilik dan tidur.

Pagi keesokannya kami bangun awal tetapi menghadapi masalah untuk mandi kerana tak ada air. Aku memberitahu kepada pihak resort dan mereka memberitahu pam air di tutup. Sungguh menjimatkan. Mereka hanya perlu mengepam air tasik yang bersih dan sejuk itu ke bilik-bilik sahaja.

Penginapan di sini tidak termasuk sarapan pagi. Kalau disediakan pun mungkin kami tidak menggunakannya. Kami hanya memakan biskut dan membancuh kopi segera dengan air panas yang diambil dari cafe. Tidak ada cerek disediakan di bilik.

Kami mengambil gambar di tepi tasik sambil menanti matahari terbit setelah mengalas perut. Setelah itu, kami berjalan di perkampungan di belakang resort tersebut lagi kerana semalam hari telah gelap.
Perkampungan Tuk Tuk di Pulau Samosir

Tepat jam 10.00 pagi, feri yang hendak ke Parapat telah sampai. Aku tergesa-gesa check out dan hanya perlu menyerahkan balik kunci bilik sahaja tanpa menandatangani apa-apa borang pun. Di atas feri, kami menikmati keindahan Danau Toba yang sangat indah, tak terungkap dengan perkataan. Airnya jernih tanpa ombak. Saksikanlah sendiri.
Danau Toba

Sesampai kembali ke Parapat, kami membeli sedikit cenderahati. Semestinya T Shirt untuk aku sendiri sebagai kenangan. Sebuah kedai menjual ukiran di tepi jalan. Ukirannya di buat sendiri oleh penjual tersebut menjadikannya istimewa. Sebelum bertolak balik ke Medan, kami makan tengahari dahulu di Restoran Istana II. Agak mahal kerana kos makanan kami Rp110,000.
Kedai Ukir di Parapat
Exora sebagai van penumpang

Selesai makan, kami ingin mencari bas ekspress tetapi tidak kelihatan di mana-mana. Beberapa buah bas mini lalu tetapi kami ingin mencari yang lebih selesa. Seorang ulat bas sedang menahan bas untuk pelanggannya. Aku merapati ulat tersebut dan memberitahunya kami ingin ke Medan menaiki Innova. Beliau memberitahu tambangnya Rp65,000 seorang. Aku menawar Rp60,000 dan beliau bersetuju. Kami duduk di tepi jalan manakala beliau memerhatikan kenderaan yang lalu lalang. Apa sahaja MPV akan di tahannya tanpa mengambil kira ianya adalah milik persendirian atau van penumpang. Akhirnya sebuah innova yang telah sarat dengan 5 orang penumpang dewasa sanggup menumpangkan kami. Aku membayar Rp120,000 kepada ulat tadi dan beliau membayar kepada supir Innova setelah mengambil komisennya yang aku tak tahu berapa.
Ulat Bas

Perjalanan dengan innova agak selesa, tetapi kerana tiada ruang bagasi, ianya menyebabkan ruang semakin sempit. Tambahan pula penyaman udara tidak di pasang kerana pemandu dan penumpang lelakinya menghisap rokok tanpa memperdulikan kelesaan penumpang lain. Akhirnya ruang yang sempit itu penuh dengan asap rokok. Rasa menyesal pula menaiki Innova ni.

Kami berhenti untuk makan tangahari di Permatang Siantar. Oleh kerana kami dah makan, kami hanya makan buah rambutan yang sangat manis dibeli di tepi jalan. Aku menjenguk ke belakang restoran tersebut dan merasa terkejut, masakan di situ di masak menggunakan api kayu. Kebersihan restoran dan tandas nya pula tak perlu lah di sebut.

Setelah berhenti rehat, kami meneruskan perjalanan dengan pemandu yang baru. Dengan pemandu tersebut barulah dapat merasai pengalaman di dalam Innova yang sebelum ini aku saksikan dipandu bagai pelesit, memotong di selekoh di garisan berkembar, memotong dan mencilok walaupun terdapat kenderaan datang dari hadapan dan lain-lain sikap tidak baik mereka. Selama ini aku hanya menyaksikan pemanduan buruk mereka. Apa yang aku kagumi, Innova tersebut tetap berkuasa walaupun penuh dengan penumpang. Jika di Malaysia, ramai yang kutuk Innova sebagai kenderaan bersaiz besar yang under power.

Kami sampai ke Tebing Tinggi jam jam 3.40 petang. Berhenti rehat kedua di Benggel Serdang dari 4.40 ptg hingga 5.00 petang. Kami sampai ke Medan jam 6.00 petang. Kami langsung ke Kesawan Hotel yang terletak berdekatan dengan Pasar Ikan Lama. Pasar Ikan Lama ni sama lah seperti kedai di Pasar Sudirman di Pontianak.

Malam tersebut kami bermalam di Hotel Kesawan. Standard roomnya berharga Rp199,000. Biliknya hanya menyediakan satu katil double, tanpa tingkap dan tersangat sempit sehingga untuk bersembahyang pun agak susah. Kesemua hotelnya menyediakan wi-fi gratis, tapi perlu dapatkan password dari kaunter.

Malam tersebut kami berjalan sehingga ke Merdeka Walk di mana terdapat banyak kedai makan seperti di Bukit Bintang. Kerana tak pasti halalnya makanan, kami hanya makan di McDonalds yang berdekatan.

Esoknya pagi-pagi kami bangun dan menjelajah Bandar Medan. Medan adalah bandar ke 3 terbesar di Indonesia selepas Jakarta dan Bandung. Kami berjalan kaki sahaja menuju ke Sogo Medan yang terletak lebih kurang 1 km dari hotel kami. Dalam perjalanan kami melalui Muzium Perjuangan dan kami sempat juga singgah mengikuti sejarah indonesia. Tiada bayaran dikenakan untuk memasuki muzium ini, dan kita juga dibenarkan mengambil gambar.
Muzium Perjuangan TNI

Kelengkapan Perang yang dipamirkan dalam muzium

Setelah itu kami meneruskan perjalanan ke Kompleks membeli belah Sogo. Ianya masih tutup ketika kami sampai. Kami duduk sebentar sehingga ia dibuka pada jam 10.00 pagi. Tidak ada yang menarik kerana semua harga barangan di sini mahal-mahal belaka kerana barangan berjenama dan asli.
Sogo Medan
Kedai-kedai di dalam Sogo

Dari Sogo kami menuju ke sebuah lagi kompleks membeli belah yang kurang meriah. Terdapat pasaraya Matahari di sana. Agak susah untuk menyeberangi jalan kerana terlalu banyak motorsikal yang dipandu laju. Serasa seperti menyabung nyawa aje rasenya. Dari situ kami kembali ke hotel dan berehat sebentar dan keluar kembali ke Pasar Ikan sebelah petangnya. Kami melanjutkan tempoh bilik dengan sedikit bayaran sehingga ke petang kerana kapal terbang kami ke KL jam 10.00 malam

Pasar Ikan

Penjual Tudung di Pasar Ikan
Pasar Ikan yang terletak dibelakang hotel itu sahaja. Berbagai barangan seperti telekong, sejadah, kain pelikat, tudung, baju T dan lain-lain dijual dengan harga yang murah. Penjual freeze magnet, key chain dan cenderahati membawa barangannya di tangannya dan mengejar anda ke mana saja.  Jam 6 petang, kami sudah berada di perut teksi menuju ke bandara atau bandar udara.

Kami menaiki kapal terbang jam 10 malam dan tiba di LCCT 45 minit kemudian, 10.45 malam atau 11.45 malam waktu Malaysia.



Tuesday, July 3, 2012

Setahun kami berpindah ke Samarahan, lahirlah anak aku yang ke lima. Perempuan lagi. Alhamdulillah. Ramai yang perli aku. Apa pun aku tetap bersyukur. Semuanya anugerah Allah. Pasti ada hikmah disebalik anugerahNya. Cuma mungkin kita yang tidak menyedarinya. Lahirnya pada 1.11.2010 di Hospital Umum Sarawak. Ada jugak akhirnya anak aku yang lahir sama daerah denganku.

Khairin setelah seminggu dilahirkan

Pun begitu, ramai yang menyuruhku berusaha lagi mendapatkan anak lelaki. Tapi nampaknya kouta telah penuh. Maksudku, kouta penjawat awam. Penjawat awam hanya diberikan cuti bersalin bergaji penuh selama 2 bulan bagi anak pertama hingga ke lima sahaja. Lebih dari tu, kena ambik cuti tanpa gaji. Apapun, segalanya kuserahkan kepada Allah. Kalau Dia memberikannya, tidak akan aku tolak. Ramai lagi orang lain yang tidak mendapatkan anak.

Khairin Setahun Setengah
Khairin sangat suka mengikut kami keluar rumah. Pantang umminya pakai tudung, maka terkedek-kedeklah dia mencapai tudungnya nak ikut sama. Setiap pagi Khairin bangun awal untuk ikut menghantar kakak-kakaknya ke sekolah. Hmmm... Ke mana tumpahnya kuah...

Monday, January 11, 2010

Balik Kampung!!! Ho ho ho balik kampung

Setelah hampir 8 tahun tercampak ke utara Sarawak di Bandaraya Miri, hampir 1000 km dari kampung halaman, akhirnya pada Julai 2009 aku dihantar kembali menaburkan bakti di daerah halamanku di Samarahan. Suka dan duka bercampur baur, dalam senyuman ada linangan air mata. Hampir 8 tahun aku berpijak di bumi Miri, menikmati barang-barangnya yang mahal harganya, menghirup wangian belacan Miri, menyusuri jalannya yang bebas dari sebarang kesesakan, bergelumang dengan cerita sensasinya, berhimpit dengan orang 'offshore' dan orang Brunei yang kaya malah keringat inilah yang mengalir bagi mempastikan Miri bergelar bandaraya. Manakan dapat dilupakan, Miri, di sini lahirnya empat puteriku, Miri adalah stesen pertama aku bergelar penjawat awam, di sini teman-teman kutinggalkan meneruskan kehidupan sendiri bersama orang baru yang menggantiku. Aku telah sebati dengan harum busuknya, dengan deburan ombaknya, kisah-kisah tragisnya hinggakan Miri ku rasakan kampung halamanku juga. Berbagai karenah menjadi tatapan saban hari. Berbagai jenis manusia ditemui. Berbagai kisah lucu, sedih, suspen dan lain-lain lagi dihadapi setiap hari. Jiran selang sebuah rumah aku rupanya sekampung dengan ku di Samarahan, walaupun telah lebih 4 bulan kami berjiran. Bila emakku datang menjenguk ketika anak sulung aku lahir, barulah kami tahu. Jiran sebelah rumah pula pernah diserang along memusnahkan harta mereka hingga aku kecut perut jadinya.

Rumahku di Kampung Luak dalam pembinaan


Puteri kesayanganku. Semuanya anak Miri