Tuesday, July 3, 2012

Setahun kami berpindah ke Samarahan, lahirlah anak aku yang ke lima. Perempuan lagi. Alhamdulillah. Ramai yang perli aku. Apa pun aku tetap bersyukur. Semuanya anugerah Allah. Pasti ada hikmah disebalik anugerahNya. Cuma mungkin kita yang tidak menyedarinya. Lahirnya pada 1.11.2010 di Hospital Umum Sarawak. Ada jugak akhirnya anak aku yang lahir sama daerah denganku.

Khairin setelah seminggu dilahirkan

Pun begitu, ramai yang menyuruhku berusaha lagi mendapatkan anak lelaki. Tapi nampaknya kouta telah penuh. Maksudku, kouta penjawat awam. Penjawat awam hanya diberikan cuti bersalin bergaji penuh selama 2 bulan bagi anak pertama hingga ke lima sahaja. Lebih dari tu, kena ambik cuti tanpa gaji. Apapun, segalanya kuserahkan kepada Allah. Kalau Dia memberikannya, tidak akan aku tolak. Ramai lagi orang lain yang tidak mendapatkan anak.

Khairin Setahun Setengah
Khairin sangat suka mengikut kami keluar rumah. Pantang umminya pakai tudung, maka terkedek-kedeklah dia mencapai tudungnya nak ikut sama. Setiap pagi Khairin bangun awal untuk ikut menghantar kakak-kakaknya ke sekolah. Hmmm... Ke mana tumpahnya kuah...

Monday, January 11, 2010

Balik Kampung!!! Ho ho ho balik kampung

Setelah hampir 8 tahun tercampak ke utara Sarawak di Bandaraya Miri, hampir 1000 km dari kampung halaman, akhirnya pada Julai 2009 aku dihantar kembali menaburkan bakti di daerah halamanku di Samarahan. Suka dan duka bercampur baur, dalam senyuman ada linangan air mata. Hampir 8 tahun aku berpijak di bumi Miri, menikmati barang-barangnya yang mahal harganya, menghirup wangian belacan Miri, menyusuri jalannya yang bebas dari sebarang kesesakan, bergelumang dengan cerita sensasinya, berhimpit dengan orang 'offshore' dan orang Brunei yang kaya malah keringat inilah yang mengalir bagi mempastikan Miri bergelar bandaraya. Manakan dapat dilupakan, Miri, di sini lahirnya empat puteriku, Miri adalah stesen pertama aku bergelar penjawat awam, di sini teman-teman kutinggalkan meneruskan kehidupan sendiri bersama orang baru yang menggantiku. Aku telah sebati dengan harum busuknya, dengan deburan ombaknya, kisah-kisah tragisnya hinggakan Miri ku rasakan kampung halamanku juga. Berbagai karenah menjadi tatapan saban hari. Berbagai jenis manusia ditemui. Berbagai kisah lucu, sedih, suspen dan lain-lain lagi dihadapi setiap hari. Jiran selang sebuah rumah aku rupanya sekampung dengan ku di Samarahan, walaupun telah lebih 4 bulan kami berjiran. Bila emakku datang menjenguk ketika anak sulung aku lahir, barulah kami tahu. Jiran sebelah rumah pula pernah diserang along memusnahkan harta mereka hingga aku kecut perut jadinya.

Rumahku di Kampung Luak dalam pembinaan


Puteri kesayanganku. Semuanya anak Miri